Polis siasat video tular dakwa anggota terlibat rasuah

Tangkap layar video yang tular di media sosial mengenai dakwaan salah laku anggota polis di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong.
Tangkap layar video yang tular di media sosial mengenai dakwaan salah laku anggota polis di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong.
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung video tular yang mendakwa berlaku salah laku rasuah membabitkan anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang tular di media sosial pada 6 November dan menarik perhatian masyarakat.

Menurutnya, satu laporan polis turut diterima daripada anggota polis yang dikaitkan dalam video tersebut bagi menafikan dakwaan berlaku salah laku rasuah ketika pemeriksaan dijalankan.

"PDRM sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian yang dipaparkan dalam video tular itu membabitkan anggota polis berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Rozak berkata, selain siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dalam video tersebut, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta tatatertib anggota polis yang terlibat turut akan diteliti.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan dijalankan bagi memastikan semua fakta berkaitan insiden berkenaan diperoleh secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

"Mana-mana saksi, individu yang terlibat atau pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Ketua Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Zahiruddin Ismail di talian 014-3189026," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!