Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kerani wanita terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, melepas dan membebaskannya daripada tujuh pertuduhan mengedar 59.98 gram dan memiliki lebih 0.5 kilogram dadah berbahaya, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Siti Aisah Noordin, 35.

Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Azhar berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan kejadian.

"Bagaimanapun, pihak pendakwaan didapati gagal untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi sedangkan dia ditangkap bersama tertuduh, ini menyebabkan kelompangan dalam kes.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan," katanya.

Sejurus keputusan, dia yang memakai baju hitam dalam keadaan bergari, kelihatan tersenyum selepas dibenarkan keluar dari kandang tertuduh.

Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati.

Bagi enam pertuduhan lain, dia didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamine seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), Nimetazepam (1.1 gram), Methamphetamine (16.86 gram) dan Clozapine (90.98 gram).

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat antara tiga hingga sembilan kali.

Pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di sini, pada 20 April 2020 lalu.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam, Maanveer Singh.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sejak prosiding perbicaraan bermula 29 Mei lalu.