Pengarah syarikat dipenjara sehari, denda RM100,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara sehari serta denda RM100,000 terhadap Pengarah CTB Solutions Sdn Bhd, Amirruddin Nin kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk diperiksa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak rayuan Amirruddin, 53, berkata, mahkamah mendapati sabitan oleh hakim Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan pertama adalah selamat kerana terdapat keterangan kukuh untuk mensabitkan perayu.

"Pada pandangan saya, hakim bicara telah menggunakan budi bicaranya dengan betul dan tiada alasan untuk saya mengganggu dapatan hakim bicara yang mendapati perayu bersalah atas pertuduhan pertama dan mensabitkannya.

"Mahkamah mendapati kesalahan bagi pertuduhan pertama berjaya dibuktikan pendakwaan melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, sabitan hakim bicara bagi pertuduhan pertama dikekalkan," katanya.

Bagaimanapun, hakim itu mengetepikan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga terhadap Amirruddin selepas mendapati perayu tidak perlu dituduh dengan kedua-dua tuduhan itu kerana ia berkaitan siasatan sama selain memerintahkan denda bagi kedua-dua pertuduhan yang dibayar dikembalikan semula kepada perayu.

Sementara itu, Muhammad Jamil membenarkan rayuan Amirruddin untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda RM1,958,000 (denda harian RM2,000) bagi kesalahan berterusan gagal mematuhi arahan SC untuk hadir pemeriksaan selama 979 hari.

Mahkamah Sesyen sebelum ini membenarkan Amirruddin menangguhkan pelaksanaan hukuman denda RM1,958,000 itu sehingga rayuan hari ini diputuskan.

Dia sudah menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda berjumlah RM300,000 untuk hukuman bagi ketiga-tiga tuduhan.

Pada 14 Julai 2022, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda berjumlah RM300,000 terhadap Amirruddin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Persiaran Bukit Kiara di sini pada 14 Jun dan 28 Ogos 2017 dan 18 April 2018.

Ia bagi tujuan pemeriksaan sebagaimana dikehendaki oleh perenggan 32(3)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Akta 613).

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 32(8)(a) Aka 613 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 32(8) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan dalam hal kesalahan berterusan, hendaklah sebagai tambahan didenda tidak melebihi RM3,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripadanya yang kesalahan itu terus dilakukan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abhilash Paul Chelliah manakala peguam Joshua Tay mewakili Amirruddin. - Bernama