Selangor agih 13 lembu korban buat masyarakat Islam Orang Asli

Loy Sian (kanan) melihat lembu korban yang akan diagihkan kepada masyarakat Islam Orang Asli enam daerah di SFV Bestari Jaya Kuala Selangor pada Rabu.
Loy Sian (kanan) melihat lembu korban yang akan diagihkan kepada masyarakat Islam Orang Asli enam daerah di SFV Bestari Jaya Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor mengagihkan lembu korban kepada umat Islam di 13 perkampungan Orang Asli di negeri ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, semua lembu korban menerusi peruntukan berjumlah RM80,000 itu diagihkan ke 13 kampung masyarakat itu pada petang Rabu.

Menurut beliau, inisiatif khas itu dilaksanakan semula selepas dua tahun tertunda akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Kampung terlibat antaranya di Hulu Kuang, Bukit Bandaraya, Bukit Lanjan, Kuala Pangsun, Bukit Bangkong dan Taman Desa Kemandol.

"Biarpun agak lewat, namun kita meluluskan permohonan lembu korban bagi semua kampung Orang Asli di enam daerah negeri ini," katanya selepas menyempurnakan penyerahan lembu itu di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya pada Rabu.

Loy Sian berkata, semua lembu diagihkan itu memenuhi kriteria ditetapkan terutama mempunyai surau untuk proses melapah dan mengagihkan daging tersebut.

Katanya, proses pengagihan itu akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Selangor berharap dapat menyalurkan lebih banyak sumbangan kepada kampung Orang Asli di negeri ini.

"Selangor secara keseluruhannya mempunyai lebih 70 kampung dengan didiami seramai 21,000 penduduk setakat ini.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan JAKOA bagi memastikan tiada pihak keciciran menerima manfaat khas daripada kerajaan negeri," tambahnya.