'Saya sentiasa rindukan arwah ibu' - Syahril

Syaiful Rizal (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Muhammad Syahril (tengah).
Syaiful Rizal (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Muhammad Syahril (tengah).
A
A
A

BACHOK - “Saya sentiasa rindukan arwah ibu.” Itu luahan pelajar cemerlang 11A, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi, 18, selepas dua minggu kematian ibunya pada 10 Jun lalu.

Menurut Muhammad Syahril, dia tidak pernah sesekali berasa puas menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, semasa hayat wanita itu.

“Saya sentiasa ingat dan rindu arwah dalam setiap aspek.

Muhammad Syahril
Muhammad Syahril

“Ibu banyak berpesan dan meninggalkan amanat kepada saya tetapi hal itu biarlah diketahui antara kami sahaja,” katanya selepas menerima sumbangan wang tunai dan pembiayaan sambung pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat di Kandis di sini pada Sabtu.

Hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Muhammad Syahril berkata, dia amat menghargai tawaran dan bantuan orang ramai sejak kisahnya tular di media sosial apabila tidak hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM kerana menjaga ibunya.

Tambah anak bongsu daripada enam beradik itu, dia belum lagi membuat sebarang keputusan selepas menerima lebih 10 tawaran menyambung pengajian.

Bagaimanapun Muhammad Syahril kekal dengan cita-citanya menyambung pengajian dalam bidang bahasa Arab untuk menjadi pensyarah.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu termasuk ibu bapa saudara dan adik-beradik yang terus menjadi tulang belakang tempat saya bergantung harap.

“Saya doakan agar perkara-perkara yang baik berbalik semula kepada semua,” ujar remaja berkenaan.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, Yayasan Bank Rakyat menyediakan dana di bawah Skim Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (SPPBU) sebanyak RM15 juta setahun kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40.

Syaiful Rizal
Syaiful Rizal

Selain itu katanya, yayasan tersebut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menaja biasiswa kepada 25 pelajar terbaik dari setiap matrikulasi di seluruh negara.

“Sehingga kini, SPPBU memberi manfaat kepada 6,000 pelajar cemerlang dan satu pertiga daripada mereka berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5.

“Pembiayaan bagi mereka yang mencapai 3.5 CGPA ini secara automatik menjadi biasiswa sepenuhnya,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen PN sumbang RM13,000 bantu Syahril

Pelajar cemerlang 11A terima lebih 10 tawaran pengajian, biasiswa

Kelantan teliti bantuan kepada Muhammad Syahril

Pelajar cemerlang imamkan sendiri solat jenazah ibu