Ahli Parlimen PN sumbang RM13,000 bantu Syahril

Mohd Syahir (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada ahli-ahli Parlimen PN.
Mohd Syahir (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada ahli-ahli Parlimen PN.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kelantan menyampaikan sumbangan wang tunai RM13,000 kepada pelajar cemerlang 11A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi di Kampung Kandis, Bachok pada Sabtu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, turut disampaikan komputer riba kepada Muhammad Syahril yang kematian ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, pada minggu lalu.

Menurut Mohd Syahir, pelajar itu juga diberikan sijil tahniah daripada Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas kecemerlangan pada SPM baru-baru ini.

“Sumbangan ini hasil kutipan daripada ahli-ahli Parlimen parti gabungan PN dan bertujuan membantu Muhammad Syahril meneruskan kecemerlangan pada masa depan.

“Kami mendoakan dia dan adik-beradiknya serta anak-anak yatim lain yang masih di alam persekolahan, untuk terus diberikan kejayaan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Mohd Syahir (kanan) menyampaikan sijil tahniah kepada Muhammad Syahril pada Sabtu.
Mohd Syahir (kanan) menyampaikan sijil tahniah kepada Muhammad Syahril pada Sabtu.

Turut hadir menyampaikan sumbangan itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri.

Mohd Syahir berkata, pihaknya bersedia untuk terus menjadi rujukan bagi membantu remaja itu membuat keputusan berkaitan pendidikan dan kerjaya yang akan dipilih kelak.

Kisah pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang itu mendapat perhatian apabila dia tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM 2023 kerana menjaga ibu sakit.

Khabar gembira anak bongsu enam beradik meraih keputusan cemerlang itu bagaimanapun berganti dengan berita duka pemergian ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar cemerlang 11A terima lebih 10 tawaran pengajian, biasiswa

Kelantan teliti bantuan kepada Muhammad Syahril

Pelajar cemerlang imamkan sendiri solat jenazah ibu