Pelajar cemerlang imamkan sendiri solat jenazah ibu

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Bakti pelajar cemerlang 11A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi, 18, terhadap ibunya membawa hingga ke akhir hayat selepas mengimamkan sendiri solat jenazah wanita itu dan selamat mengebumikannya di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Jelawat di sini pada Ahad.
Ibu remaja itu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia pada jam 8.20 malam, Sabtu akibat menderita angin ahmar sejak tahun 2019.
Muhammad Syahril yang juga anak bongsu daripada enam beradik tersebut bagaimanapun berlapang dada menerima berita duka mengejutkan itu selepas tiga hari menyambut kegembiraan hasil kecemerlangan yang diraih pada keputusan SPM yang diduduki.
“Tak apa, saya reda,” balasnya ringkas ketika menerima ucapan takziah dan dipeluk Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di rumahnya di Kampung Kandis di sini.