Bakar al-Quran: Penganggur diarah jalani pemeriksaan mental

Tertuduh (dua dari kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin atas dakwaan membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus.
Tertuduh (dua dari kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin atas dakwaan membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengarahkan seorang penganggur yang didakwa membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid menjalani rawatan mental di hospital psikiatri.

Hakim Nooriah Osman memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din agar Mohd Ridzuan Mohd Kamal, 33, menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membakar empat naskhah al-Quran dan tiga helai sejadah.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di tepi sebuah pusat hemodialisis di lokasi sama kira-kira jam 10.50 pagi pada 12 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 26 Julai depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri dari Hospital Permai, Tampoi di Johor Bahru.