Jumlah pelajar keracunan metanol meningkat kepada 27 orang

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan jumlah pelajar mengalami keracunan metanol meningkat kepada 27 orang.

Timbalan Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Asits Sanna berkata, sehingga jam 10 pagi Khamis, jumlah notifikasi mangsa disyaki keracunan metanol yang diterima adalah sebanyak 48 notifikasi.

"Daripada jumlah ini, seramai 27 pelajar telah diklasifikasikan sebagai kes yang disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal.

"Daripada 27 kes yang disahkan keracunan metanol, terdapat dua kes yang memerlukan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 25 pelajar lagi telah dibenarkan keluar daripada hospital," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Asits lagi, Jabatan Kimia juga telah mengesahkan peratusan kandungan metanol pada 12 Jun lalu.

"Keputusan sampel proxy untuk ujian peratus metanol telah disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol," katanya.

Sehubungan itu, Asits berkata, JKNS ingin menegaskan dan menasihatkan orang ramai mengenai bahayanya pengambilan minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.

"Sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat," katanya.

JKNS sebelum ini mengesahkan bahawa 20 pelajar daripada sebuah sekolah menengah di Pitas telah mengalami keracunan metanol.

Dua daripada pelajar berkenaan kritikal manakala 18 lagi turut menerima rawatan di hospital selepas dipercayai minum minuman berkarbonat yang dicampur dengan spirit.

Bagaimanapun, perkembangan terkini daripada pihak polis mengesahkan dua pelajar yang kritikal telah meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan Khamis di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan HQEII.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

20 pelajar disahkan mengalami keracunan metanol - JKNS

2 pelajar kritikal, 18 lagi dirawat minum air berkarbonat campur spirit