[VIDEO] 'Abang trafik' tunda 3km RXZ rosak

A
A
A

MARANG – Walaupun motosikal yang ditunggang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan, dua anggota polis trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang tetap tampil membantu atas dasar kemanusiaan dengan menunda sebuah motosikal Yamaha RX-Z yang mengalami kerosakan sejauh tiga kilometer (km).

Sarjan Yufaiza Azha Yunos, 41, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada Isnin di Jalan Marang-Bukit Payung (Bukit Kor) berhampiran sebuah universiti swasta yang tidak berpenghuni.

Menurutnya, ketika beliau bersama rakan setugas, Koperal Wan Muhamad Fazreen Wan Nasir, 38, sedang melakukan rondaan mencegah kemalangan dan melancarkan kesesakan lalu lintas.

"Ketika melalui lokasi berkenaan, kami terlihat seorang penunggang motosikal tersadai di bahu jalan selepas kenderaan itu gagal dihidupkan.

"Kami lihat penunggang motosikal itu agak takut kerana motosikal Yamaha RX-Z yang ditunggangnya rosak dan 'tidak cukup sifat' sebaik kami hampiri, namun atas dasar perikemanusiaan kami cuba membantu sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di IPD Marang pada Selasa.

Yufaiza Azha (kiri) dan Wan Muhamad Fazreen.
Yufaiza Azha (kiri) dan Wan Muhamad Fazreen.

Yufaiza berkata, sebaik menghampiri lelaki itu, beliau bertanyakan masalah yang dihadapi sebelum dimaklumkan motosikalnya mengalami kerosakan.

"Dalam perbualan itu, penunggang motosikal berkenaan sempat berseloroh dengan berkata 'boleh minta air ke cik', lalu kami memberikan sebotol air kepadanya berikutan ketika itu cuaca agak panas.

Artikel Berkaitan:

"Selepas mendapati motosikal milik lelaki itu tidak dapat dihidupkan, kami berdua kemudian menundanya ke lokasi lebih selamat kira-kira 3 kilometer dari lokasi terbabit," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan keselamatan penunggang berkenaan memandangkan lokasi kejadian agak kurang sibuk dan boleh mengundang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, walaupun menyedari motosikal lelaki itu 'tidak cukup sifat' seperti tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan ekzos diubah suai, mereka tidak mengambil tindakan atas dasar kemanusiaan.

"Dia mengalami kesusahan, takkan kami nak menyusahkan dia lagi hingga diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Kami pun manusia dan mempunyai perasaan selain menggunakan budi bicara.

"Justeru, langkah selamat adalah membantunya ke lokasi lebih selamat sebelum lelaki itu meminta bantuan rakannya bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Dua anggota polis berkenaan bersama pegawai ketika ditemui pemberita di IPD Marang, pada Selasa.
Dua anggota polis berkenaan bersama pegawai ketika ditemui pemberita di IPD Marang, pada Selasa.

Sementara itu, Muhamad Fazreen berkata, lelaki terbabit ditimpa musibah dan sebagai penguat kuasa di lapangan, mereka perlu membantu meringankan urusan orang awam.

"Alhamdulillah, kami berjaya menundanya ke lokasi lebih selamat iaitu di kawasan yang mempunyai penempatan penduduk bagi membolehkan dia menunggu rakannya.

"Kami tidak sempat bertanya lanjut kerana mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan sepanjang rondaan pada hari kejadian," katanya.

Pada Isnin, tular di media sosial tindakan dua anggota polis membantu seorang penunggang motosikal yang mengalami kerosakan, meskipun motosikal tersebut dilihat tidak mempunyai nombor pendaftaran, cermin sisi dan menggunakan ekzos diubah suai.

Bagaimanapun, majoriti warganet memberikan maklum balas positif terhadap sikap dua anggota berkenaan yang mendahulukan ihsan dengan menyalurkan bantuan kepada penunggang motosikal tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang menolong menunda motosikal Yamaha RX-Z rosak sejauh tiga kilometer
  • Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang berhampiran universiti swasta di Jalan Marang-Bukit Payung
  • Mereka sedang melakukan rondaan untuk mencegah kemalangan dan melancarkan lalu lintas ketika menemui penunggang tersadai
  • Tidak mengambil tindakan ke atas motosikal yang "tidak cukup sifat" demi kemanusiaan walaupun tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi, serta ekzos diubah suai
  • Tindakan mereka mendapat maklum balas positif dari netizen di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!