20 pelajar disahkan mengalami keracunan metanol - JKNS

Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Lima kritikal manakala 18 lagi menerima rawatan di hospital selepas minum minuman berkarbonat yang dicampur dengan spirit.
Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Lima kritikal manakala 18 lagi menerima rawatan di hospital selepas minum minuman berkarbonat yang dicampur dengan spirit.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan 20 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Pitas mengalami keracunan metanol.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Asits Sanna berkata, kesemua pelajar telah mendapatkan rawatan di mana lapan daripadanya mempunyai gejala.

"Daripada lapan kes, dua kes telah didapati semakin merosot keadaan kesihatannya dan memerlukan bantuan pernafasan, serta masing-masing telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) dan ICU Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) pada Khamis.

"Lima lagi kes telah dihantar ke HQE pada hari yang sama untuk rawatan lanjut dan satu kes masih dirawat di Hospital Pitas. Sementara itu, 12 kes yang tidak bergejala telah dimasukkan ke dalam wad Hospital Pitas untuk pemantauan dan rawatan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, sampel berkaitan telah diambil untuk pengesahan kehadiran metanol termasuklah darah, urin, dan sampel proksi spirit namun punca kejadian masih dalam siasatan.

"Jabatan ini akan sentiasa memantau keadaan mangsa dan akan bekerjasama dengan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas bagi menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai kejadian ini serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian ini berulang, " katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa metanol merupakan sejenis alkohol yang biasa digunakan sebagai pelarut organik.

"Metanol juga dikenali dengan nama lain iaitu metil alkohol, wood alcohol, atau spirit.

"Pada suhu bilik, metanol berbentuk cecair yang ringan, mudah meruap, tidak berwarna, mudah terbakar dan mempunyai bau yang unik iaitu sedikit manis dan lebih ringan daripada etanol (alkohol yang diminum).

"Selain sebagai pelarut organik, di dalam dunia industri, metanol juga digunakan untuk bahan pendingin anti beku, bahan pencuci cermin kereta, cecair karburator, pelarut cat, varnis, bahan bakar, dan sebagai bahan aditif bagi industri etanol," katanya.

Jelas Asits lagi, keracunan metanol boleh disebabkan oleh penyalahgunaan metanol sebagai bahan pembuat minuman keras.

"Seseorang yang keracunan metanol mungkin tidak menunjukkan apa-apa gejala untuk tempoh satu hingga 72 jam selepas pengambilan.

"Namun, gejala akan wujud dengan lebih cepat jika metanol diminum dalam kuantiti yang banyak dan adalah lebih lambat jika diminum dalam kuantiti yang sedikit atau diminum bersama dengan etanol.

Sehubungan itu, JKNS menasihati orang ramai berhubung bahayanya pengambilan minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.

"Sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat," ujarnya.

Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Lima kritikal manakala 18 rakan mereka berusia antara 13 hingga 17 tahun turut menerima rawatan di hospital selepas minum minuman berkarbonat yang dicampur dengan spirit.