1.136 juta kuota pekerja asing diluluskan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia meluluskan sebanyak 1,136,022 kuota penggajian pekerja asing untuk enam sektor pekerjaan di negara ini setakat 18 Mac lalu.

Sektor berkenaan adalah perkilangan sebanyak 469,106; pembinaan (359,899); perkhidmatan (171,490); perladangan (85,678); pertanian (49,473) dan perlombongan serta pengkuarian (376).

Menterinya, V Sivakumar berkata, daripada jumlah keseluruhan kuota tersebut, sebanyak 467,590 atau 41 peratus telah diluluskan pada tahun ini bagi 3 Januari hingga 18 Mac melibatkan 10,093 majikan.

“Untuk makluman, Jemaah Menteri melalui mesyuarat kabinet bertarikh 17 Mac 2023 telah bersetuju dengan penangguhan permohonan dan kelulusan kuota penggajian pekerja asing.

“Termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bermula 18 Mac 2023 sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam pertanyaan bukan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah kuota pekerja asing telah diluluskan pada 2023 mengikut warganegara, jumlah syarikat dan nama syarikat menerima kuota tersebut selain jumlah sasaran kuota pekerja asing bagi tahun ini.

Ujar Sivakumar, dalam perkara tersebut, fokus diberikan kepada proses kemasukan pekerja asing oleh pihak majikan terlibat bagi kuota pekerja asing yang telah diluluskan.

"Juga pelaksanaan penguatkuasaan dibuat ke atas pematuhan standard perburuhan oleh majikan-majikan bagi memastikan kepentingan dan reputasi negara tidak terjejas," jelasnya.

Sementara itu dalam jawapan berasingan, beliau memaklumkan antara syarat penggajian pekerja asing adalah bagi tempoh 10 tahun dengan tambahan tiga tahun.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, pekerja asing hendaklah bekerja dalam sektor yang ditetapkan seperti mana diluluskan semasa pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara.

“Pekerja asing ini tidak dibenarkan untuk bekerja secara sambilan dalam mana-mana sektor lain selain yang ditetapkan.

“Pada masa ini pihak kerajaan tidak bercadang untuk memberi kebenaran kepada pekerja asing di Malaysia untuk terlibat sebagai pekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan mahupun lain-lain sektor yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan berhubung pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai kesediaan kerajaan pertimbang cadangan membenarkan pekerja asing terlibat sebagai pekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan.