Pengguna buang sampah atas jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang mula dibuka kepada orang ramai hujung bulan lalu. Gambar kecil: Shahrul Zaman
Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang mula dibuka kepada orang ramai hujung bulan lalu. Gambar kecil: Shahrul Zaman
A
A
A

BAGAN DATUK - Tindakan tidak bertanggungjawab pengguna Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop di sini membuang sampah di atas jambatan tersebut amat dikesali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan kawasan tersebut baharu sahaja dibuka malah menyalahi undang-undang.

Menurutnya, orang ramai yang melalui jambatan tersebut tidak dibenarkan berhenti di atas jambatan tersebut tanpa sebab atas faktor keselamatan kerana membahayakan pengguna lain.

"Saya harap kita semua dapat bertanggungjawab memastikan kawasan jambatan mahu pun persekitaran kita sentiasa bersih daripada sampah sarap. Sebenarnya ikut undang-undang tak boleh berhentikan kenderaan di atas jambatan ini.

"Saya juga akan maklumkan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk letak papan tanda tidak boleh memberhentikan kenderaan di sepanjang jambatan tersebut supaya orang ramai maklum," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai aduan orang ramai di media sosial mengenai keadaan jambatan tersebut yang kotor disebabkan sampah ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata, sejak pembukaan jambatan berkenaan pada hujung bulan lalu, jumlah kehadiran pengunjung ke Pekan Bagan Datuk bertambah dengan mendadak.

Menurutnya, antara kawasan tumpuan ialah Dataran Bagan Datuk dan Masjid Tuminah Hamidi sehingga menyebabkan parkir kenderaan sentiasa penuh terutama pada hujung minggu serta cuti umum.

"Ini sesuatu yang amat positif untuk Pekan Bagan Datuk. Kehadiran pengunjung dari luar akan merancakkan lagi perkembangan ekonomi di seluruh Daerah Bagan Datuk.

"Kita akan berbincang dengan MPTI (Majlis Perbandaran Teluk Intan) untuk kenal pasti kawasan parkir tambahan yang bersesuai bagi menampung jumlah kenderaan yang masuk ke Bagan Datuk," katanya.