MBPJ perkasa Petaling Jaya sebagai bandar selamat

Mohamad Azhan (dua dari kiri) dan Lam Thye (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBPJ di Dewan Sivik pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohamad Azhan (dua dari kiri) dan Lam Thye (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBPJ di Dewan Sivik pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa aspek keselamatan komuniti dan keselamatan jalan raya.

MoU itu ditandatangani oleh Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat MBPJ di Dewan Sivik MBPJ pada Khamis.

Mohamad Azhan berkata, usahasama tersebut ke arah menjamin persekitaran MBPJ selamat menerusi penglibatan komuniti dalam program yang akan dilaksanakan.

"MBPJ perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan memilih Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat kerana dipimpin aktivis masyarakat yang berpengalaman.

"MoU ini baik dalam usaha menjamin persekitaran MBPJ selamat. Justeru banyak kerjasama akan dilaksanakan antara kedua-dua belah pihak ke arah itu," katanya selepas selesai majlis tersebut.

Pada program tersebut, Lam Thye yang juga bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah diangkat sebagai Penaung Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MBPJ.

Turut diadakan penyampaian watikah lantikan kepada 34 kakitangan MBPJ sebagai koordinator sistem kesihatan dan keselamatan pekerjaan (OSH) yang berperanan sebagai pemerhati dan pemeriksa ruang kerja MBPJ.

Menurut Mohamad Azhan, kesedaran aspek keselamatan komuniti dan jalan raya tersebut juga akan diperluaskan ke peringkat sekolah.

"Sekolah Kebangsaan Taman Medan merupakan sekolah angkat yang akan diberi latihan terhadap aspek OSHE (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar) dan seterusnya akan melalui Pensijilan ISO 45001 daripada SIRIM.

"Jika pensijilan ini berjaya maka sekolah ini akan menjadi sekolah pertama menerima pensijilan tersebut," katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, sesebuah organisasi atau PBT harus melihat keperluan perundangan, amalan industri, standard dan garis panduan berkaitan keselamatan pekerja bagi memastikan OSH diamalkan di tempat kerja.

Katanya, dengan pemeteraian MoU bersama tersebut, pihaknya akan memastikan menjalankan tanggungjawab penuh dengan menjadi komuniti Petaling Jaya sebagai bandar selamat.

“Pihak kami akan terus memberi kerjasama dan berharap MBPJ sebagai PBT yang selamat seterusnya menjadi contoh kepada PBT lain dalam menangani OSH,” katanya.