[VIDEO] 'Tabib Adam' tak mengaku salah buat hantaran jelik

Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu.
Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengasas perubatan Islam jarak jauh terkenal di negeri ini tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat hantaran jelik di YouTube mengaitkan agensi agama dengan dajal, pada pertengahan tahun lalu.

Warga Singapura Adam M.Isa, 65, yang dikenali 'Tabib Adam' membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan saluran YouTube miliknya, 'Tabib Adam M. Isa' secara sedar membuat hantaran yang jelik sifat menggunakan perkataan dajal dengan niat menyakiti Muhammad Abdullah, 57, yang melihat video itu di alamat MT 606, Lorong Bilal, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin dan N Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, pihaknya mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abdul Razak merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh warga emas dan mempunyai lapan orang anak termasuk dua masih bersekolah menengah.

Malah isteri tertuduh bekerja secara dalam talian dengan pendapatan tidak tetap dan hadir dengan membawa wang jaminan RM8,000 sahaja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media pada Selasa melaporkan pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan selepas pengadu iaitu pegawai hal ehwal Islam negeri ini telah membaca dan melihat video berdurasi sembilan minit 57 saat mengenai seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai tabib.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan dalam video berkenaan mendapati, tabib berkenaan mengaitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dipergunakan dan dipengaruhi oleh orang awam untuk mengambil tindakan terhadapnya serta mengatakan dajal bekerja daripada pihak JAIM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Malah Sinar Harian pada 29 Jun tahun lalu pernah melaporkan individu itu ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya dalam sebuah rumah di Masjid Tanah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan pada jam 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral warga emas terbabit yang turut mempunyai ribuan pengikut termasuk mempunyai saluran YouTube sendiri.