'Rundingan secara terbatas dimulakan dalam usaha henti rundingan terus'

Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memulakan rundingan secara terbatas bagi beberapa projek untuk manfaat rakyat dalam usaha menghentikan rundingan terus atau kelulusan perolehan tanpa tender, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kelonggaran telah diberikan kepada pejabat daerah untuk melaksanakan tender terbatas bagi projek-projek seperti baik pulih sekolah dan klinik daif.

"Kita memberi ruang kepada pegawai daerah umpamanya di peringkat tertentu di kementerian-kementerian. Umpamanya sekolah daif, klinik daif, kalau projek itu hingga RM1 juta, maka diberikan kelonggaran kepada pejabat daerah untuk membuat tender terbatas.

"Dalam kes lif-lif usang, kalau kita buat tender, lif itu mungkin mengambil masa tiga bulan untuk diperbaiki. Oleh demikian, untuk lif yang perlu diganti atau diperbaiki antara RM500,000 hingga RM1.2 juta, harga perolehan kerja itu juga diproses lebih cepat melalui tender terhad, terbatas atau prakelayakan terpilih,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu sama ada pembaharuan kerajaan dalam pemberian tender mengakibatkan kelewatan pelaksanaan projek untuk rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi semua projek di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, ia diserah sepenuhnya kepada Jabatan Kerja Raya atau Jabatan Teknik Sabah atau Sarawak untuk dipercepatkan tanpa merujuk Kementerian Kewangan atau agensi pusat.

Justeru, beliau berkata, khidmat jurutera daerah perlu ditingkatkan bagi memberi ruang kepada mereka menjalankan tugas dalam pembaikan jalan yang rosak, sekolah, klinik dan projek-projek prasarana kecil.

Perdana Menteri berkata, mengambil komisen dan menyakau wang rakyat dalam puluhan kes rundingan terus harus dihentikan.

"Saya menolak keras soal rundingan terus ini kerana tiada pemantauan dan ini hanya pakatan antara syarikat itu dan orang berkenaan," kata beliau.

Sementara itu, Anwar juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan 'flip-flop' (berubah-ubah) dalam isu pemberian subsidi kepada penternak telur dan ayam serta tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata, keputusan JPA untuk mengkaji semula tajaan adalah keputusan lama, namun selepas beliau mempengerusikan mesyuarat JPA, kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan tajaan biasiswa itu.

Perdana Menteri berkata, perkara sama berlaku bagi isu pemberian subsidi kepada penternak telur dan ayam untuk bulan ini apabila keputusan yang diumum kementerian hanya keputusan lama tetapi selepas diteliti beliau membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi itu mengikut prosedur.

"Kalaupun flip-flop untuk bantu rakyat, saya akan flip-flop. Buat apa tidak mahu flip-flop tetapi membebankan rakyat.

"Keputusan kabinet dulu masa Perikatan Nasional, naik (bil) elektrik untuk semua, saya tukar maknanya Perdana Menteri Tambun tukar. Flip-flop tidak bebankan rakyat, tidak naikkan elektrik," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu kalimah ALLAH: Anwar ingatkan jangan putar belit fakta, tipu rakyat

Malaysia tak kompromi soal hak, kedaulatan sempadan maritim - Anwar

'Rundingan secara terbatas dimulakan dalam usaha henti rundingan terus'

'Tak payah jadi peguam!' - Anwar tempelak Takiyuddin

Dewan Rakyat kecoh PM ungkit isu kenaikan elektrik

STR fasa 3 diagih sebelum Aidiladha

Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan

PM perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini