Malaysia tak kompromi soal hak, kedaulatan sempadan maritim - Anwar

Anwar ketika perjanjian penyelesaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini. - Foto Bernama
Anwar ketika perjanjian penyelesaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perjanjian penyelesaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini tidak sama sekali mengorbankan kepentingan, hak dan kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan, malah perjanjian persempadanan itu dibuat berhati-hati, dengan mengambil kira pandangan pihak berkaitan dan selain hanya melibatkan kawasan yang dipersetujui kedua-dua negara tanpa mengorbankan hak negara masing-masing.

"Adakah ia komprehensif, ya ia suatu penyelesaian komprehensif, namun yang belum dimeterai adalah sebahagian kecil melibatkan sempadan Sabah yang kita tidak dapat bersetuju (tuntutan)... Indonesia jelas dengan tuntutan kita dan kita juga jelas dengan tuntut mereka.

"Soal kompromi tidak berbangkit... soal kedaulatan tidak boleh dikorbankan... muktamad pendirian kita (Malaysia), tidak mungkin kita mengorbankan seinci pun tanah negara kita,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang mahukan penjelasan sama ada perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini komprehensif dalam menjaga hak serta kedaulatan maritim negara.

Perdana Menteri berkata, sebelum perjanjian persempadanan itu dimeterai, kerajaan telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang berkaitan seperti pakar dari Jabatan Maritim, Kementerian Luar, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Pusat Hidrografi Nasional Malaysia, dan Pejabat Peguam Negara.

"Setelah mereka teliti dan perjumpaan akhir dengan saya, berpuas hati barulah kita meterai dan ini berlanjutan tatkala perjumpaan saya dengan Presiden Jokowi (Presiden Indonesia) pada Januari lalu. Kita sebagai negara sabahat harus selesaikan perkara yang berlanjutan selama 18 tahun.

"Jadi sebab itulah pada 8 Jun lalu kita melakukan persetujuan berdasarkan kepentingan kita, titik sempadan yang kita tidak pertikai dan undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (KUUL 1982)," katanya.

Anwar turut menjelaskan perjanjian yang dimeterai baru-baru ini tidak melibatkan kawasan yang masih dalam rundingan iaitu di Pulau Sebatik, Sabah dan garis sempadan Laut Sulewesi Selatan kerana ia masih dalam proses rundingan untuk dimuktamadkan.

Menurutnya, triti itu juga tidak melibatkan kawasan pelabuhan Pelabuhan Tanjung Pelepas seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada pihak berkepentingan telah dirujuk terlebih sebelum perjanjian itu dipersetujui, Anwar berkata, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah dimaklumkan pemeteraian perjanjian itu.

"Tuanku Sultan Johor telah dimaklumkan bahawa persempadan ini (perairan Johor), tiga batu nautika daripada kawasan pantai Johor... ini jauh, tidak termasuk dalam perbatasan Johor.

"Yang kedua, Sabah... Sabah tidak dimeterai dalam perjanjian ini. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dimaklumkan bahawa rundingan bagi memuktamadkan Pulau Sebatik dan kawasan di Tawau ditangguhkan sehingga ada persetujuan baharu kerana kita belum bersetuju," kata beliau.

Mengenai soalan Takiyuddin sama ada perjanjian berkenaan turut mengambil kira mengambil kira perjanjian sempadan ditandatangani Singapura dan Indonesia pada 2009, Anwar berkata kerajaan konsisten membantah perjanjian yang dimeterai dua negara republik itu sejak 2009 lagi.

Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan kepada Presiden Indonesia dan tidak dimasukkan dalam perjanjian yang dipersetujui kedua-dua negara yang ditandatangani 8 Jun lepas.

"Apa yang kita lakukan ialah sehingga kini perjanjian Singapura-Indonesia itu dibantah kerajaan Malaysia dan saya sendiri maklum kepada Presiden Jokowi, kita tidak boleh terima yang ini kerana ia menjejaskan kepentingan negara," kata beliau.

Perdana Menteri turut menempelak kenyataan dan persoalan yang dibangkitkan Takiyuddin berkaitan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia dengan menyifatkan ia bertujuan untuk ruang politik murahan kerana kerajaan tidak pernah membuat keputusan yang mengabaikan hak negara.

Pada masa yang sama beliau berharap supaya soal hubungan dengan negara Inonesia tidak dipolitikkan.

"Kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia bukan hanya sebagai negara serumpun, majoriti umat Islam, soal budaya, pendidikan, ekonomi, perdagangan, pelaburan, itu harus kita tingkatkan.

"Dalam enam bulan ini saya beritahu Presiden Jokowi dan dia pun sambut baik dan akui hubungan kita telah dapat ditingkatkan. Hubungan daripada satu negara sahabat sangat penting untuk kepentingan strategik, ekonomi, budaya dan Islam.

"Jadi saya tidak meremehkan hal ini, namun adakah ini bermaksud kita akan korbankan kepentingan kawasan sempadan kita, tidak... kita tidak akan bertolak ansur sama sekali," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu kalimah ALLAH: Anwar ingatkan jangan putar belit fakta, tipu rakyat

Malaysia tak kompromi soal hak, kedaulatan sempadan maritim - Anwar

'Rundingan secara terbatas dimulakan dalam usaha henti rundingan terus'

'Tak payah jadi peguam!' - Anwar tempelak Takiyuddin

Dewan Rakyat kecoh PM ungkit isu kenaikan elektrik

STR fasa 3 diagih sebelum Aidiladha

Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan

PM perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini