Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan

Anwar menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan bagi bulan Jun 2023 hari ini. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan bagi bulan Jun 2023 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelaksanaan projek-projek kecil seperti membaik pulih sekolah dan klinik kesihatan daif yang lambat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu proses itu disegerakan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan pada November tahun lepas telah mengumumkan semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki dan diselesaikan tahun ini namun pelaksanaan itu tidak memuaskan terutama di peringkat bawah membabitkan pejabat daerah.

Anwar menegaskan penyaluran peruntukan untuk projek-projek kecil perlu disegerakan memandangkan sekolah-sekolah yang tiada tandas atau bumbung bocor tidak boleh menunggu dua tahun walaupun peruntukan untuk perkara itu telah diluluskan.

"Saya nak pastikan peruntukan disalurkan segera," katanya pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya projek-projek kecil dikecualikan dari tugas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ketika ini dibebani dengan ribuan projek untuk diserahkan kepada jabatan dan kementerian berkaitan terutama di peringkat pegawai daerah bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Tambah Anwar, pegawai daerah dan pegawai jajahan di Kelantan akan berhimpun di Sungai Petani pada Sabtu ini (17 Jun) supaya kuasa pelaksanaan itu dapat dipindahkan segera kepada pejabat daerah.

Beliau dalam pada itu mengingatkan walaupun projek-projek kecil perlu dipercepatkan prosesnya, jangan berlaku penipuan, pencurian wang dan pengambilan komisen.

"Yang kita keras (tegas) sekarang ini tentang penyelewengan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, prinsip perbincangan atau musyawarah perlu ada dalam kalangan penjawat awam supaya warga kerja kementerian tanpa mengira pangkat diberi ruang dan peluang untuk menyampaikan keterangan maklumat serta input dalam mesyuarat-mesyuarat termasuk pasca-Mesyuarat Kabinet.

"Ini kerana saya dapat maklumat bahawa kadang-kadang tak sampai pengarahan atau dasar dan tidak diberi ruang untuk memberi input dari peringkat bawah. Saya harap ini diperbetulkan," katanya.

Bermula dengan Kementerian Kewangan (MOF), Anwar mahu semua jabatan dan agensi memberi minit mesyuarat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican dan seterusnya disampaikan kepada beliau bagi memastikan input yang baik daripada semua warga kerja terlibat.

"Ini maknanya saya nak pastikan MOF sebagai contoh cemerlang bukan sahaja kerja tetapi kita pastikan ada input yang baik, rundingan yang baik dan tidak hanya pengarahan daripada menteri ke bawah, KSP ke bawah, atau ketua jabatan ke bawah," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu kalimah ALLAH: Anwar ingatkan jangan putar belit fakta, tipu rakyat

Malaysia tak kompromi soal hak, kedaulatan sempadan maritim - Anwar

'Rundingan secara terbatas dimulakan dalam usaha henti rundingan terus'

'Tak payah jadi peguam!' - Anwar tempelak Takiyuddin

Dewan Rakyat kecoh PM ungkit isu kenaikan elektrik

STR fasa 3 diagih sebelum Aidiladha

Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan

PM perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini