Pelajar naik kereta api dari Jeli ke asrama sekolah raih 11A SPM

Fadhliyatul Insyirah (kanan) menangis memohon reda sambil mencium tangan Sharifah Suraiya (kiri).
Fadhliyatul Insyirah (kanan) menangis memohon reda sambil mencium tangan Sharifah Suraiya (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Kegigihan seorang pelajar perempuan menaiki kereta api dan bas dari Jeli untuk pulang ke asrama sekolah di Kota Bharu pada setiap bulan berbayar dengan kejayaan manis 11A yang diraih pada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di sini pada Rabu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu, Fadhliyatul Insyirah Abdul Hadi, 18, memperoleh 6A masing-masing bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik, Biologi serta Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah.

Gred A diraih bagi empat pelajaran iaitu Matematik, Bahasa Arab, Kimia, Pendidikan Syariah Islamiah sementara A- untuk Matematik Tambahan.

Fadhliyatul Insyirah juga anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, memilih menggunakan dua pengangkutan itu kerana tidak mahu menyusahkan bapa, Abdul Hadi Yahya, 62, yang berniaga kedai runcit dan ibu, Sharifah Suraiya Wafa Syed Ghazi, 57, (suri rumah) untuk menghantar atau mengambilnya di sekolah.

FADHLIYATUL INSYIRAH
FADHLIYATUL INSYIRAH

“Saya tinggal di Kampung Lakota, Jeli dan akan menaiki kereta api ke Tanah Merah sebelum menggunakan bas pula untuk sampai ke sekolah di Kota Bharu. Duit tambang RM12 dibekalkan oleh ibu bapa.

“Perjalanan memakan masa tiga jam sejauh kira-kira 100 kilometer sehala dan memenatkan tetapi tidak melunturkan semangat saya untuk terus pergi menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui pada Pengumuman dan Penyerahan Slip Keputusan SPM 2022 di sini pada Khamis.

Dia yang bercita-cita menjadi arkitek itu turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling terutama ibu bapa dan guru.

“Saya selalu memohon reda daripada ibu dalam apa-apa juga yang saya pilih dan lakukan. Ibu adalah pembakar semangat dan insan yang pernah tidak putus mendoakan saya supaya berjaya.

“Selainnya, amalan solat tahajud dan 1,000 kali zikir setiap hari dapat membantu menguatkan ingatan saya semasa belajar,” ujarnya.

Pelajar cemerlang itu juga bercadang untuk melanjutkan pengajian di luar negara dalam jurusan Seni Bina sama ada di Australia atau United Kingdom.