Pemuda UMNO akan turun ke jalanan, kecam Jocelyn

Dr Muhamad Akmal menyampaikan ucapan pada Perhimpunan UMNO 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Khamis - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Dr Muhamad Akmal menyampaikan ucapan pada Perhimpunan UMNO 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Khamis - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pimpinan Pemuda UMNO akan turun ke jalanan dan berhimpun di hadapan Kedutaan Singapura pada Jumaat untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan rakyat negara itu yang menghina dan memperlekehkan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan itu akan bermula pada jam 2.30 petang dan semua pimpinan Pemuda diseru untuk menyertainya.

“Saya kira semalam semuanya sudah tengok satu video tular mengenai Jocelyn Chia yang menghina Malaysia. Dengan nada meremehkan, dia menistakan kita.

“Ini satu penghinaan yang tidak boleh diterima oleh Pemuda UMNO dan seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, hari ini juga, saya akan mengarahkan Exco Pemuda saya untuk membuat satu laporan polis terhadap petualang ini.

“Kita desak kerajaan Malaysia untuk mengharamkan petualang ini menjejakkan kaki ke bumi Malaysia,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video yang memaparkan pelawak wanita itu memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk 'Singapore vs Malaysia' yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Jocelyn bagaimanapun memilih untuk tidak membuat sebarang permohonan maaf di atas lawak yang dibuatnya.

Katanya, tindakan menjadikan tragedi pesawat MH370 sebagai sebahagian daripada bahan lawaknya bukanlah satu kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawak melampau: Singapura mohon maaf

Malaysia kecam jenaka keterlaluan pelawak Singapura

Netizen kecam pelawak Singapura jadikan MH370 bahan jenaka

Guna MH370 bahan jenaka adalah keji, jijik - Isteri pramugara

Jenaka MH370: 'Pelawak perlu tahu sensitiviti, empati'