Netizen kecam pelawak Singapura jadikan MH370 bahan jenaka

SHAH ALAM - Tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia menggunakan Malaysia sebagai bahan jenaka dalam satu persembahan komedi berdiri akhirnya mengundang kecaman netizen kerana ia seolah-oleh menghina negara.
Lebih menyedihkan apabila wanita berkenaan turut memperlekehkan tragedi kehilangan kapal terbang MH370.
Menerusi video satu minit 29 saat yang dimuat naik menerusi laman sosial TikTok, pelawak berkenaan turut menyifatkan bahawa pembangunan Malaysia jauh terkebelakang berbanding Singapura.
Ruangan komen di akaun rasmi TikTok pelawak itu dibanjiri dengan kata-kata tidak senang orang ramai menyifatkan bahawa lawak yang disampaikan tidak sensitif.