Lans Koperal didakwa ugut pelancong China gagal tunjuk pasport

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang tular meminta wang daripada seorang wanita kerana rakannya warga China gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan dengan niat melakukan pemerasan, tiga bulan lalu.

Mohamad Ikhwan Mahat, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan ketakutan kepada wanita warga tempatan, Lee Log Ling, 26, dengan meminta RM200 supaya melepaskan rakannya yang juga seorang wanita dari China kerana gagal membawa dokumen perjalanan antarabangsa semasa diperiksa dengan niat untuk melakukan pemerasan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn Jalan Parlimen, Dang Wangi di sini pada jam 11 malam, 23 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, P Purshotaman yang mewakili tertuduh, merayu agar ikat jamin ditetapkan pada kadar yang minimum.

"Dia perlu menyara keluarga termasuk empat anaknya yang masih kecil," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.

April lalu, pihak polis membuka kertas siasatan ke atas anggota yang didakwa memeras ugut seorang pelancong warga China kerana gagal menunjukkan pasport.

Dalam video yang tular, berdurasi satu minit 48 saat, memaparkan imej seorang anggota polis berlatar belakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman berhampiran Bulatan Dato Onn, di sini yang meminta kad pengenalan diri wanita terbabit.