Ugut pelancong China, seorang lagi akan dirakam keterangan

Video tular yang memaparkan dakwaan seorang anggota polis memeras ugut wanita warga China kerana gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu.
Video tular yang memaparkan dakwaan seorang anggota polis memeras ugut wanita warga China kerana gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lagi individu akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang anggota polis memeras ugut wanita warga China kerana gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, identiti individu tersebut akan didedahkan selepas proses rakaman keterangan selesai.

"Polis akan memanggil seorang lagi individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Sebelum ini, polis sudah selesai mengambil keterangan lima individu berhubung dakwaan berkenaan.

Anggota polis berkenaan adalah antara lima individu yang diambil keterangan.

Terdahulu, satu rakaman video dimuat naik di akaun TikTok sebelum tular di media sosial lain, memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit sedutan rakaman kejadian.

Berdasarkan kapsyen video tersebut, anggota polis terlibat didakwa memeras wang sebanyak RM200 daripada seorang wanita berasal dari China ekoran gagal menunjukkan pasportnya kerana tertinggal di hotel.