Projek pembekalan pesawat: Bekas pegawai khas dibebaskan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pegawai khas kepada bekas menteri yang direman berhubung kes mengatur projek pembekalan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta dua tahun lalu, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan lelaki bergelar Datuk itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan.

Suspek berusia 50 tahun itu sebelum ini direman tiga hari bermula Selasa lalu selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan dipercayai menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta pada 2017.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

SPRM juga dipercayai sedang giat mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal peralatan pesawat di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan bekas pegawai khas kepada bekas menteri itu.

Sementara itu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengalu-alukan siasatan terhadapnya, ahli keluarga atau mana-mana bekas pegawai jika didapati melaggar undang-undang.

Tegas Ahli Parlimen Sembrong itu pendiriannya itu bukan perkara baharu tetapi konsisten sejak dahulu lagi, malah sudah dimaklumkan kepada agensi penguatkuasaan bahawa jika mereka bersalah, jalankan siasatan dan dakwa di mahkamah jika terlibat.

Artikel Berkaitan: