Wanita bersalin dalam bas ekspres, ini reaksi pemandu kedua

Gambar yang dikongsi di media sosial Facebook.
Gambar yang dikongsi di media sosial Facebook.
A
A
A

TAPAH - "Baru enam bulan saya bekerja, tak sangka akan berdepan situasi mendebarkan seperti ini," kata Mohamad Faisal SH Omar, 28, pemandu kedua sebuah bas ekspres yang tular di media sosial gara-gara seorang penumpangnya melahirkan seorang bayi, semalam.

Bas ekspres berkenaan menghala ke Ipoh dari Batu Pahat telah singgah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur untuk mengambil penumpang seterusnya.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, seorang bayi perempuan selamat dilahirkan dalam bas ketika kenderaan berkenaan melalui kawasan Ladang Bikam, Sungkai.

Mohammad Faisal ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku ketika bas yang membawa 11 penumpang dan dia ketika itu sedang tidur di kerusi hadapan.

Terkejut apabila diberitahu rakan pemandunya ada kecemasan apabila seorang lelaki memaklumkan isterinya berusia lingkungan 20-an telah bersalin.

"Keadaan ketika itu agak kelam kabut, kami segera hubungi ambulans dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah untuk mendapatkan bantuan.

"Sementara menanti ambulans tiba, bayi berkenaan dipangku seorang penumpang wanita lain sementara ibunya yang duduk di tempat duduk belakang ditemani beberapa penumpang wanita, mungkin mereka yang membantu sepanjang proses kelahiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gambar yang dikongsi di media sosial Facebook.
Gambar yang dikongsi di media sosial Facebook.

Mohammad Faisal berkata, wanita itu bersama pasangannya menaiki bas berkenaan dari TBS untuk ke Ipoh.

"Kebetulan dalam perjalanan ini, dia sudah sakit untuk bersalin, walaupun kejadian ini agak mengejutkan, kami bersyukur dan lega kerana ibu dan bayinya berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian itu tular dalam media sosial Facebook sejak ia dimuat naik semalam dengan mendapat pelbagai reaksi positif pengguna lain. Wanita itu dan bayi perempuannya dihantar ke Hospital Tapah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan suami isteri yang ditemui di hospital berkenaan bagaimanapun enggan mengulas kejadian itu.

Mereka memaklumkan, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dibuat agar video dan gambar berhubung kejadian itu tidak lagi disebarkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat suami isteri berkenaan, sekitar jam 3.30 petang tadi.