[VIDEO] Banjir Manjoi: Setengah jam terperangkap, hanya harapkan bantuan tiba
IPOH - “Saya hanya berharap ada pihak datang menyelamatkan kami.”
Itu luahan Nur Aina Aqilah Hanif, 21, yang terperangkap lebih setengah jam bersama tiga kanak-kanak kecil ketika banjir kilat melanda Manjoi di sini pada Jumaat.

Kejadian yang berpunca daripada limpahan air Sungai Tapah itu menenggelamkan beberapa kediaman dan menyebabkan sebahagian penduduk terperangkap di dalam rumah.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan Menteri, Jalan Tali Api, Kampung Manjoi, Jalan Pemimpin, Kampung Tengku Hussein Hujung dan kawasan sekitarnya dengan paras air melebihi satu meter.
Bagi Nur Aina, keutamaan ketika berdepan detik mencemaskan itu adalah memastikan keselamatan tiga kanak-kanak di bawah jagaan ibunya, masing-masing berusia tiga dan empat tahun serta seorang bayi perempuan berusia 11 bulan.
Dia yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira jam 5 petang berkata, air naik terlalu cepat sehingga menyebabkan mereka terkepung di dalam rumah selepas pintu rosak dan tidak dapat dibuka akibat arus deras.

"Tekanan air yang mengalir deras menyebabkan kami tak dapat keluar, jadi kami cuba berlindung dalam bilik.
"Saya letakkan tiga anak kecil atas katil yang lebih tinggi daripada aras lantai bagi mengelakkan mereka ditenggelami air.
"Keadaan ketika itu sangat-sangat mencemaskan, dengan bunyi tangisan dan air yang semakin naik tinggi. Saya hanya berharap ada pihak datang menyelamatkan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Menteri di sini pada Sabtu.
Nur Aina berkata, dia sempat menghubungi keluarga menerusi WhatsApp untuk memaklumkan kejadian itu dan meminta mereka menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, mereka terperangkap lebih setengah jam sebelum anggota bomba tiba dan membawa mereka ke tempat selamat menggunakan bot.
"Ini pengalaman pertama saya berdepan banjir seteruk ini. Sebelum ini memang pernah berlaku banjir, tetapi tidaklah sampai begini.
"Ketika itu saya tidak fikir tentang barang-barang dalam rumah. Apa yang penting, saya mahu pastikan kanak-kanak itu selamat," katanya.
Sementara itu, Salim Mawar, 71, berkata, dia mula menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan ahli keluarga memaklumkan air semakin naik ketika sedang menunaikan solat kira-kira jam 4.30 petang.

Katanya, sebaik keluar melihat keadaan, air sudah meningkat tinggi menyebabkan dia segera mengalihkan tiga kereta dan motosikal ke kawasan lebih selamat.
Bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil apabila kawasan berkenaan turut ditenggelami air sehingga menyebabkan tiga keretanya dan motosikal rosak akibat dimasuki air.
"Rupanya keadaan dalam rumah juga sudah teruk. Isteri, menantu dan cucu saya yang berada di dalam rumah terpaksa melambai-lambaikan tangan dari tingkap untuk meminta bantuan kerana kediaman sudah dikepung air.
"Anggota penyelamat yang tiba menggunakan tali untuk membawa kami ke tempat lebih selamat," katanya.
"Peti ais, mesin basuh semua dah bergelimpangan. Malah buku teks milik cucu saya yang baru diambil dari sekolah juga rosak," katanya.
Tambahnya, air mula surut sekitar jam 9 malam sebelum penduduk memulakan kerja-kerja pembersihan awal bagi membersihkan kediaman serta mengalihkan barangan yang rosak dan dipenuhi lumpur akibat banjir.
Seorang lagi penduduk, Zubairi Soid, 54, menyifatkan banjir kali ini antara yang paling buruk pernah dialaminya sepanjang lebih 30 tahun menetap di Kampung Manjoi.
Katanya, hujan lebat yang berterusan sejak beberapa minggu lalu berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan penduduk sentiasa berwaspada, namun tidak menyangka kawasan itu dilanda banjir seteruk kejadian berkenaan.
"Kali ini memang luar biasa. Rumah saya terselamat daripada dimasuki air sebab dah buat kerja penambakan tanah bagi meninggikan kawasan kira-kira 15 tahun lalu," katanya.
Beliau berharap kerja-kerja mendalamkan Sungai Tapah dan penambahbaikan berkaitan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko limpahan air sungai serta mengelakkan kejadian sama berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

