'Tak sangka itu panggilan video terakhir anak'

Harun dipeluk ahli keluarga selepas urusan pengebumian jenazah dua anaknya di Tanah Perkhuburan Islam Bukit Tunggal di Kuala Nerus selesai kira-kira jam 11.15 malam pada Jumaat.
Harun dipeluk ahli keluarga selepas urusan pengebumian jenazah dua anaknya di Tanah Perkhuburan Islam Bukit Tunggal di Kuala Nerus selesai kira-kira jam 11.15 malam pada Jumaat.
A
A
A

KUALA NERUS - Bapa kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan pada pagi Jumaat tidak menyangka panggilan video yang diterima daripada anaknya pada malam Khamis lalu adalah yang terakhir sebelum keduanya maut dalam nahas.

Harun Ismail, 68, berkata, dia seolah masih tidak percaya dua anaknya, iaitu Allahyarham Mohd Husaini Amir Harun, 29, serta adiknya Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25, yang disifatkan begitu baik dan rapat dengan keluarga telah pergi meninggalkan mereka.

Ujarnya, kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu.

"Saya tak sangka jadi macam ni sebab mereka berdua baik dengan semua orang, dengan ahli keluarga dan begitu peramah. Arwah suka buat video call (panggilan video) hampir setiap hari.

"Malam Khamis tu dia cakap dengan saya, ayah esok saya kerja. Saya ada tanya dia ada duit tak nak belanja, gaji dah masuk ke belum.

"Tak sangka pagi tu mereka terlibat kemalangan. Saya pasrah dan reda hilang dua anak. Mungkin dah sampai masa mereka dan dah ditakdirkan begitu. ALLAH lebih sayangkan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tunggal di sini, pada malam Jumaat.

Dua beradik berkenaan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian jam 7.05 pagi pada Jumaat.

Kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Hino membawa muatan makanan haiwan yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya itu dari arah Pulau Pinang menuju ke arah Melaka.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang mereka dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori tersebut.

Mohd Husaini yang merupakan penunggang motosikal dan adiknya Muhammad Amirul Syafiq, 25 yang beralamat di Kampung Pengkalan Batu di Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.