Tabung khas perlu segera ditubuhkan, selamatkan tanah penduduk Manjoi

Penubuhan tabung khas di Gugusan Manjoi bertujuan membantu penduduk menguruskan kos pelanjutan tempoh pajakan tanah. Gambar hiasan
Penubuhan tabung khas di Gugusan Manjoi bertujuan membantu penduduk menguruskan kos pelanjutan tempoh pajakan tanah. Gambar hiasan
A
A
A

IPOH – Penubuhan tabung khas bagi membantu penduduk Gugusan Manjoi menguruskan kos pelanjutan tempoh pajakan dan pemberimilikan semula tanah perlu disegerakan bagi mengelakkan mereka berdepan beban kewangan.

Pengerusi Penyelaras Program Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Azrin Ahmad Kadri berkata, inisiatif itu penting khususnya bagi membantu keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kekangan kewangan untuk menguruskan permohonan berkenaan.

Menurutnya, Gugusan Manjoi yang merupakan antara perkampungan Melayu terbesar di Malaysia mempunyai nilai sejarah tersendiri selepas dibuka lebih 100 tahun lalu dengan keluasan melebihi 500 hektar.

Beliau berkata, walaupun peringatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya pemilik tanah menyemak tempoh pemilikan masing-masing disambut baik, kemampuan kewangan penduduk juga perlu diberikan perhatian.

"Realitinya, masih ramai penduduk berdepan kekangan kewangan untuk menguruskan proses pelanjutan tempoh pajakan atau pemberimilikan semula tanah.

"Justeru, tabung khas ini boleh menjadi jaringan keselamatan bagi memastikan penduduk tidak terbeban dengan kos permohonan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azrin berkata, bantuan menerusi tabung berkenaan boleh digunakan bagi menampung kos permohonan di bawah Seksyen 90A dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa negeri.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan tabung itu perlu dilaksanakan secara telus dan sistematik menerusi kerjasama kerajaan negeri, wakil rakyat serta persatuan penduduk.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya pemilik tanah yang berdepan kesukaran kewangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap cadangan penubuhan tabung khas itu diberikan perhatian serius dan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

"Tanah di Gugusan Manjoi bukan sekadar aset atau harta, sebaliknya warisan sejarah, identiti dan kelangsungan komuniti Melayu yang telah bertapak lebih satu abad.

"Usaha mempertahankan pemilikan tanah penduduk Manjoi merupakan tanggungjawab bersama supaya warisan ini terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!