Penjawat awam dilapor hilang, kali terakhir dikesan CCTV Selasa lalu

Kehilangan Muhammad Hafiq Azhari, 35, disedari selepas tidak hadir bekerja selama dua hari
Kehilangan Muhammad Hafiq Azhari, 35, disedari selepas tidak hadir bekerja selama dua hari
A
A
A

IPOH - Seorang penjawat awam sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas gagal dihubungi keluarga.

Kehilangan Muhammad Hafiq Azhari, 35, yang bekerja sebagai pemandu itu disedari selepas tidak hadir bekerja selama dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis lalu.

Abangnya, Muhamad Hasri Azhari, 38, berkata, kali terakhir adiknya dikesan berada di kawasan Taman DR Seenivasagam di sini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar jam 10 hingga 10.30 pagi, Selasa.

Menurutnya, rakaman tersebut menunjukkan Muhammad Hafiq berjalan kaki seorang diri di kawasan berkenaan dalam keadaan seolah-olah sedang menunggu seseorang.

"Setakat ini, kami belum memperoleh rakaman CCTV lain untuk mengetahui ke mana adik pergi selepas itu.

"Berdasarkan rakaman CCTV itu, dia dilihat memakai baju sejuk berwarna hitam dan topi bertulis XPDC.

"Kami cuba menghubunginya tetapi telefon bimbitnya tidak aktif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhamad Hasri berkata, pihak keluarga hanya mengetahui adiknya tidak hadir bekerja selepas majikan menghubungi ibu mereka sekitar tengah hari pada Khamis bagi memaklumkan perkara itu.

Katanya, lori yang digunakan adiknya turut ditinggalkan di kawasan Taman DR Seenivasagam pada hari kejadian dalam keadaan berkunci.

Artikel Berkaitan:

"Ahad lepas dia ada balik kampung di Kampung Gajah. Ibu maklumkan, dia kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan atau berkongsi masalah yang dihadapi, sama ada berkaitan pekerjaan mahupun kewangan.

"Sepanjang pengetahuan kamipun, dia tidak pernah mengadu berdepan sebarang masalah sebelum ini," katanya.

Tambahnya, satu laporan polis berhubung kehilangan Muhammad Hafiq telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Khamis.

"Kami sangat bimbang tentang keselamatannya kerana sehingga kini tiada sebarang khabar berita atau petunjuk mengenai keberadaannya," katanya.

Orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat mengenai Muhammad Hafiqdiminta menghubungi ahli keluarga di talian 017-5232904 atau 017-5664346.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!