19 IPG terima manfaat Quran Corner, bantu perkukuh jati diri warga pendidik

Setiap IPG menerima lima set Quran Corner, manakala sekolah menerima tiga set mengandungi tujuh jenis al-Quran terbitan Karya Bestari selain 10 buku Surah Yasin dan surah-surah pilihan.
Setiap IPG menerima lima set Quran Corner, manakala sekolah menerima tiga set mengandungi tujuh jenis al-Quran terbitan Karya Bestari selain 10 buku Surah Yasin dan surah-surah pilihan.
A
A
A

IPOH - Inisiatif Quran Corner diperluaskan ke 19 Institut Pendidikan Guru (IPG) dan lima sekolah terpilih di Semenanjung Malaysia bagi menyemarakkan budaya membaca, memahami serta mengamalkan al-Quran dalam kalangan warga pendidik.

Usaha menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu bertujuan menjadikan al-Quran sebagai sumber kekuatan dalaman dan panduan kepada guru serta bakal guru dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan dan dunia pendidikan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWUI, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, setiap IPG menerima lima set Quran Corner, manakala sekolah terpilih masing-masing menerima tiga set bagi membolehkan bahan berkenaan dimanfaatkan oleh komuniti institusi terbabit.

Menurutnya, setiap set mengandungi tujuh jenis al-Quran terbitan Karya Bestari selain 10 buku Surah Yasin dan surah-surah pilihan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kempen Wakaf Ummah yang diperkenalkan ketika negara berdepan pandemik Covid-19 bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap kempen wakaf ini amat menggalakkan dan sebelum ini pelbagai pihak telah menerima set Quran Corner.

"Kali ini kita berasa bertuah kerana dapat memperluaskan manfaatnya kepada warga pendidik pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian dalam majlis penyerahan al-Quran wakaf menerusi inisiatif Quran Corner di Dewan Seri Tanjung, IPG Kampus Ipoh di sini pada Jumaat.

Program turut diimarahkan dengan pengisian tadabur Surah al-Muzzammil oleh Ketua Pegawai Penyelidik YWUI, Fazrul Fahmi Ismail yang mengetengahkan mesej pembinaan kekuatan dalaman dalam mendepani cabaran kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Yani
Ahmad Yani

Ahmad Yani berkata, usaha itu diharap dapat melahirkan warga pendidik yang berperanan sebagai ejen perubahan dalam masyarakat dengan membawa nilai-nilai yang diajarkan al-Quran.

Menurutnya, golongan pendidik berdepan pelbagai tanggungjawab bukan sahaja dalam mendidik generasi muda, malah sebagai anggota keluarga dan masyarakat yang turut memerlukan kekuatan serta panduan dalam kehidupan.

"Kita percaya apabila mereka kembali kepada panduan sebenar iaitu al-Quran, ia dapat membantu membina kekuatan untuk menghadapi cabaran berkenaan," katanya.

Antara IPG yang hadir menerima manfaat inisiatif berkenaan ialah IPG Kampus Ipoh, IPG Kampus Perlis, IPG Kampus Darul Aman, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, IPG Kampus Bainun, IPG Kampus Persekutuan Pulau Pinang, IPG Kampus Bahasa Melayu, IPG Kampus Antarabangsa, IPG Kampus Ilmu Khas dan IPG Kampus Islam.

Lima sekolah terpilih pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, SK Sultan Idris II di Kuala Kangsar, SK Kampung Kenang di Sungai Siput dan SK Kuak Hulu di Pengkalan Hulu.

Dr Murniza
Dr Murniza

Sementara itu, Pengarah IPG Kampus Ipoh, Dr Murniza Muhamad berkata, pihaknya akan menempatkan Quran Corner di Pusat Islam al-Hidayah, IPG Kampus Ipoh bagi membolehkan lebih 1,500 pelajarnya mengakses bahan berkenaan pada waktu lapang.

Menurutnya, ruang itu boleh dimanfaatkan pelajar Muslim untuk membaca al-Quran, bertadabur, berbincang serta melakukan refleksi diri, khususnya ketika berdepan tekanan sepanjang pengajian.

"Kita harap inisiatif ini dapat membentuk bakal guru yang mempunyai jati diri kukuh dan integriti berteraskan nilai al-Quran sebelum membimbing generasi akan datang," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!