Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia

Dr Chandra Muzaffar, 79, dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.
Dr Chandra Muzaffar, 79, dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.
A
A
A

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar, 79, dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.

Berita pemergian tersebut dikongsikan menerusi satu kenyataan media rasmi badan berkenaan yang menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan tokoh tersebut.

"Dengan penuh dukacita, kami berkongsi berita pemergian [Dr] Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World (JUST)," menurut kenyataan media tersebut pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian akan dikongsikan sebaik sahaja diperoleh.

"Kami amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan berkongsi butiran lanjut mengenai urusan pengebumian sebaik sahaja tersedia," menurut kenyataan itu lagi.

Doa dan ingatan buat keluarga

Lebih dikenali dengan panggilan Dr Chandra dalam kalangan rakan seperjuangan dan komuniti media, Allahyarham dilahirkan Bedong, Kedah.

JUST turut menzahirkan ucapan takziah dan doa kepada keluarga allahyarham yang sedang melalui saat sukar.

"Al-Fatihah. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh beliau serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh.

Artikel Berkaitan:

"Ingatan dan doa kami sentiasa bersama keluarga beliau dalam saat yang sukar ini," menurut kenyataan itu lagi.

Latar belakang Dr Chandra

Dalam arena politik tanah air, Dr Chandra terlibat secara aktif pada awal gerakan Reformasi dan dilantik sebagai Timbalan Presiden pertama Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dari 1999 hingga 2001, sebelum parti itu bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 2003 untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum 1999 atas tiket KeADILan.

Selepas meninggalkan politik kepartian pada November 2001, beliau kekal bersuara mengenai isu tadbir urus, hak asasi manusia serta hubungan antara kaum, dan pada 2009 dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumbangan beliau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dialog peradaban dan kebajikan masyarakat juga luas.

Di luar politik kepartian, beliau dikenali sebagai tokoh masyarakat sivil dan pemikir dialog peradaban.

Dr Chandra menubuhkan pertubuhan pembaharuan sosial Aliran Kesedaran Negara (Aliran) pada 1977 dan memimpinnya selama 14 tahun, sebelum menerajui JUST sebagai presiden.

Dalam bidang akademik, beliau pernah menjadi Pengarah pertama Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya serta Profesor Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain menulis puluhan buku mengenai keadilan sejagat, hak asasi dan dialog peradaban, beliau turut aktif dalam advokasi sosial dan kerja-kerja kebajikan masyarakat menerusi pertubuhan bukan kerajaan. - AWANI 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!