Suami bunuh isteri, kerat dan buang mayat di kawasan sampah

BANGKOK – Seorang lelaki warga Myanmar mengaku membunuh isterinya sebelum memotong mayat wanita itu kepada beberapa bahagian dan membuangnya di kawasan longgokan sampah di Bangkok, Thailand.
Suspek, Banyar Soe Hlaing, 21, ditahan di daerah Krathum Baen, wilayah Samut Sakhon, pada Isnin malam selepas mayat isterinya yang berusia 26 tahun ditemukan di kawasan pembuangan sampah di hujung Lat Phrao Soi 109/5, kawasan Khlong Chan, pada malam Ahad.
Menurut laporan Bangkok Post, suspek mengaku melakukan pembunuhan itu ketika disoal siasat polis dengan bantuan jurubahasa.
Dia mendakwa pertengkaran tercetus selepas isterinya enggan menyediakan makanan untuknya sebelum hilang kawalan dan mencekik mangsa sehingga meninggal dunia.
Suspek turut mengaku memotong mayat isterinya kepada beberapa bahagian, memasukkan anggota badan mangsa ke dalam guni sebelum membuangnya di kawasan pembuangan sampah berhampiran pangsapuri mereka.
Pada Selasa petang, polis membawa suspek ke bilik kediamannya di tingkat tiga dan lokasi penemuan mayat bagi menjalani proses lakonan semula kejadian.
Timbalan Ketua Polis Negara, Pol Gen Nirandorn Lueamsri, turut hadir menyaksikan proses berkenaan.
Menurut polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bangunan pangsapuri berhampiran menunjukkan suspek membawa keluar sebuah guni dari biliknya kira-kira jam 10 malam pada 18 November lalu.
Ketika pemeriksaan di bilik berkenaan, polis turut mencari bahan bukti tambahan termasuk dokumen pengenalan mangsa serta anggota badan yang masih belum ditemukan.
Pemeriksaan selama kira-kira 20 minit itu kemudian diteruskan di kawasan pembuangan sampah yang terletak kira-kira 20 meter dari pangsapuri berkenaan.
Polis memaklumkan suspek mendakwa membuang tangan kanan dan jantung mangsa dari tingkap bilik kediaman mereka. Pasukan penyiasat bersama pakar forensik akan meneruskan pencarian di kawasan belakang bangunan.
Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai menggunakan pisau pendek untuk memotong mayat mangsa.
Bagaimanapun, pisau yang dirampas polis masih belum disahkan sebagai senjata yang digunakan dan perlu menjalani pemeriksaan forensik.
Semakan latar belakang mendapati suspek telah menetap di Thailand lebih setahun dan bekerja di sebuah kilang roti di kawasan Lat Phrao.
Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu turut berpunca daripada konflik rumah tangga lain, termasuk isu kecurangan dan perselisihan peribadi.
Nirandorn berkata, walaupun suspek telah membuat pengakuan, perkara itu belum mencukupi untuk membuktikan kesalahan yang dilakukan.
Menurutnya, pihak penyiasat perlu mengumpulkan bukti kukuh dan konsisten termasuk hasil pemeriksaan forensik, kronologi kejadian serta pergerakan suspek sebelum dan selepas kejadian bagi memastikan kes itu dapat dibuktikan.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta melengkapkan bukti berkaitan kes pembunuhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
