Muhamad Amri tak sangka kalahkan Pengerusi DAP Kedah

Muhamad Amri mahu meneruskan agenda membantu masyarakat berbilang kaum dengan program dilaksanakan.
Muhamad Amri mahu meneruskan agenda membantu masyarakat berbilang kaum dengan program dilaksanakan.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga, Muhamad Amri Wahab menjadi 'giant killer’ apabila menewaskan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew pada pilihan raya negeri (PRN), semalam.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pokok Sena itu berkata, beliau tidak sangka meraih kemenangan di kerusi DUN tersebut memandangkan dia antara calon muda dan baru bertanding berbanding calon lain.

Beliau menyifatkan pertembungan di kerusi DUN Derga satu pertempuran sengit dan bukan perkara yang mudah memandangkan Kok Yew telah menyandang kerusi tersebut sejak 2013 lagi.

"Saya akan berusaha untuk merealisasikan empat tawaran dalam manifesto iaitu kebajikan, amar makruf nahi mungkar, belia, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukan serta penyampaian perkhidmatan efisien untuk warga Derga.

"Melalui aspek kebajikan, saya akan meneruskan agenda membantu masyarakat berbilang kaum dengan program dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Muhamad Amri di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Sabtu.
Muhamad Amri di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Sabtu.

Muhamad Amri memaklumkan, antara inisiatif lain yang dicadangkan termasuklah untuk menubuhkan jawatankuasa tadbir urus DUN Derga, sekali gus memperkemaskan perlaksanaannya.

Beliau berkata, kemenangan PN di Kedah termasuklah DUN Derga membuktikan gelombang rakyat yang menginginkan perubahan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berterima kasih kepada jentera PN termasuk Pas, Bersatu dan Gerakan yang membantunya berkempen dalam tempoh dua minggu ini.

Muhamad Amri turut melahirkan penghargaan kepada akar umbi, penyokong dan pengundi yang memberi mandat kepada dirinya berkhidmat di kawasan Derga.

Pada PRN Kedah, Kok Yew gagal mempertahankan kerusi DUN Derga selepas hanya memperoleh 10,771 undi berbanding Muhamad Amri yang mendapat 14,433 undi.

Turut bertanding di kerusi tersebut, calon Bebas, Man Basiron yang mendapat 241 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Muhamad Amri mencipta sejarah besar menjadi anak Melayu pertama yang menang kerusi DUN Derga selepas 30 tahun.

Daripada 47 kerusi ditandingi DAP, Derga adalah satu-satunya kerusi yang kalah kepada calon lain.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!