40 bot nelayan asing akan ditenggelamkan di perairan Pulau Kapas

Satu daripada tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Kapas pada Isnin.
Satu daripada tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Kapas pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 40 bot nelayan asing yang dilucut hak dijangka ditenggelamkan di perairan Pulau Kapas bagi menggalakkan proses pemuliharaan dan pembiakan ikan di lokasi berkenaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, laporan kajian biodiversiti dan biomas mengenal pasti perairan Pulau Kapas merupakan lokasi produktif untuk pembinaan kompleks tukun tiruan.

"Pembinaan kompleks tukun tiruan di Pulau Kapas adalah antara langkah dan usaha bagi pemuliharaan sumber perikanan terutama melibatkan kawasan perairan Marang.

"Setakat ini sebanyak 10 buah bot nelayan asing telah ditenggelamkan di perairan pulau berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Terbaharu, Khairulanuar memberitahu, tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran pulau itu pada Isnin.

"Pelupusan tiga bot ini sebagai tukun tiruan merupakan sumbangan Maritim Malaysia Negeri Terengganu kepada pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem marin.

"Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara hasil Op Naga Barat dan Op Kuda Laut.

"Ini merupakan pelupusan ke tujuh dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangka sebanyak 13 buah bot lagi akan ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini," jelas beliau.

Beliau berkata, program pelupusan kali ini turut melibatkan kerjasama dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 156 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan negeri ini oleh Maritim Negeri Terengganu.

"Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.

"Ia juga merupakan simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram," ujarnya.

Dalam pada itu, Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.