Doakan Hawari ditemui selamat - Ibu

Che Tom menunjukkan gambar anaknya ketika menjalankan misi menawan Everest.
Che Tom menunjukkan gambar anaknya ketika menjalankan misi menawan Everest.
A
A
A

TASEK GELUGOR - "Mohon kepada semua rakyat Malaysia berdoa agar Wari ditemui selamat."

Itu harapan ibu kepada pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia pada Jumaat lalu.

Che Tom Hassan, 64, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan hanya mengetahui berita mengenai kehilangannya melalui Facebook pada jam 11 pagi, Sabtu.

Menurutnya, walaupun sedih, dia kekal positif bahawa anak ketiga daripada lima beradik itu akan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

"Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita kehilangan Wari memandangkan sebelum itu kami dimaklumkan yang dia sudah berjaya menawan gunung Everest.

“Selepas mengetahui Wari hilang, kami sekeluarga berkumpul di sini bersama-sama isteri dan dua anaknya untuk menantikan sebarang perkhabaran mengenainya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Permatang Kerai Besar di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Che Tom berkata, anaknya itu seorang individu yang sentiasa bersemangat, berkeyakinan dan sukakan cabaran.

Ujarnya, sejak kecil lagi Hawari aktif dengan pelbagai aktiviti lasak dan mampu berdikari walaupun dalam keadaan bergelar orang kurang upaya.

“Pastinya kami sekeluarga amat berharap Wari baik-baik saja walaupun saya sendiri tidak lena tidur mengenangkannya.

“Saya ada cuba menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai Wari namun gagal,” katanya.

Che Tom berkata, mereka sekeluarga, penduduk kampung dan sahabat handai Hawari sudah melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatannya.

Che Tom tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan anaknya.
Che Tom tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan anaknya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap semua pihak terus berdoa agar Hawari ditemui dalam keadaan selamat.

Memetik laporan berita daripada media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) pada Sabtu, Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest pada Khamis sebelum dilaporkan hilang.

Pengarah Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada pagi Jumaat selepas berjaya menawan puncak gunung berkenaan dan turun berehat di kem empat.

Ujar Nivesh, usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan mesej ke semua kem sama ada Muhammad Hawari ada berteduh di khemah lain.

Menurut sumber, Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung.

Muhammad Hawari berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas di Muzium Pulau Pinang.

Pada 2 April lalu, misi ME 2023 disertai oleh Muhammad Hawari dan tiga pendaki lain melibatkan ketua misi, Azim Afif Ishak, 35, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, dan Tiong Ling Yang, 30.

Bagaimanapun Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut dan meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendaki OKU negara dilapor hilang selepas tawan puncak Everest

Pemergian Awang Askandar kehilangan besar buat APM, negara

Pendaki OKU Malaysia berjaya tawan puncak Everest

Pengarah APM Kedah meninggal dunia ketika misi daki Everest

'Seakan tak percaya adik meninggal ketika misi daki Everest'

Everest semakin berbahaya, semoga Hawari selamat

Everest: Orang ramai titip doa buat Hawari

Jenazah pendaki dijangka dibawa turun malim gunung

'Gunung Everest kehilangan salji, lebih kering dan berbatu'

Operasi SAR sukar jika Hawari terjatuh di kaki Gunung Lhotse

Ismail Sabri titip doa kepada mangsa tragedi Everest

Gesa siasatan menyeluruh tragedi Everest

Cuaca tak menentu cabaran cari mangsa hilang Gunung Everest

Ravichandran sedih kehilangan dua rakan pendaki

Doakan Hawari ditemui selamat - Ibu

Wisma Putra bantu bawa turun jenazah Awang Askandar

Kerajaan sedia penuhi hasrat keluarga Awang Askandar

Ravi tahan sakit demi kibar Jalur Gemilang di Everest

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!