Pulau Bidong diwarta sebagai Taman Negeri Terengganu

Pulau Bidong bakal diwarta sebagai Taman Negeri Terengganu pada September depan. Gambar kecil: Tun Ahmad Faisal (Gambar kecil: Tun Ahmad Faisal)
Pulau Bidong bakal diwarta sebagai Taman Negeri Terengganu pada September depan. Gambar kecil: Tun Ahmad Faisal (Gambar kecil: Tun Ahmad Faisal)
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan negeri akan mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu menjelang September depan sebagai langkah mengekalkan khazanah alam dan warisan yang ada di pulau tersebut.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, usaha itu juga bagi bertujuan untuk menjadikan ia sebagai salah satu tarikan dan produk pelancongan yang ada di Terengganu.

“Pulau Bidong merupakan Taman Negeri Terengganu keempat selepas Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun.

“Proses pewartaannya dijangka selesai pada bulan Julai depan sebelum ia beroperasi sepenuhnya di pulau ini dalam tempoh dua bulan selepas pewartaan.

"Dengan pembukaan pejabat pengurusan di pulau ini, kita jangka ia akan mula beroperasi sepenuhnya pada September nanti, ”katanya selepas melalukan lawatan kerja di Pulau Bidong di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Menurut Tun Ahmad Faisal, terdapat pelbagai tarikan di pulau berkenaan antaranya tapak kapal karam iaitu 'The Bidong Shipwreck', kesan peninggalan orang hanyut Vietnam dan 11 monumen negara Asean.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menghargai usaha Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pemuliharaan artifak dari kapal karam itu untuk diwarisi kepada generasi akan datang.

"Setakat ini, UMT melalui Stesen Penyelidikan Alami Marin berjaya menaikkan kira-kira 10 peratus artifak atau sebanyak 366 tembikar terdiri daripada pasu besar, kotak kecil dan botol bertangkai dipercayai untuk kegunaan harian yang ada di dalam kapal berkenaan.

"Kebanyakan barangan ditemui itu sudah pecah serta rosak akibat terlalu lama berada di dalam air masin dan pihak UMT kini dalam proses memulihkan kembali barangan tersebut supaya ia mampu bertahan lebih lama," ujarnya.

Beliau memberitahu, selain itu terdapat juga produk terbaharu selaman skuba yang ditawarkan menerusi segmen arkeo-pelancongan bawah air.

"Segmen ini akan diperkenalkan bagi menerokai kapal perdagangan berusia kira-kira 500 tahun yang karam di dasar perairan Pulau Bidong," kata beliau