‘Ini adalah akaun sindiket Malaysia’

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Saksi ketiga yang dipanggil memberi keterangan pada hari kelapan perbicaraan kes kejatuhan saham murah (penny stock) pada 2013, berkata beliau dimaklumkan mengenai akaun sindiket Malaysia.

Andy Lee, remisier di Lim and Tan Securities Pte Ltd (L&T) dari 2000 hingga Februari 2014 adalah wakil dagangan untuk 13 akaun milik enam pemegang akaun.

Tiga akaun dagangan dipindahkan kepada beliau daripada remisier sebelumnya, Thomas Chng yang memberitahu Andy Lee bahawa ‘ini adalah akaun sindiket Malaysia’.

Dalam kenyataannya, Andy Lee berkata, Chng yang meninggalkan broker pada 2003 juga memberitahunya seorang individu bernama ‘Alice’ akan membuat pesanan bagi tiga akaun tersebut.

Perbicaraan bersama itu membabitkan seorang ahli perniagaan Malaysia John Soh atau Soh Chee Wen dan Quah Su-Ling, yang kedua-duanya mengaku tidak bersalah, masing-masing atas 189 dan 178 pertuduhan menyebabkan kejatuhan harga saham Asiasons Capital Ltd, Blumont Group Ltd dan LionGold Corp.

Andy Lee berkata, pada Februari 2012, Su-Ling mengambil alih memberi arahan bagi urusan dagangan akaun berkenaan selepas ‘Alice’ telah berhijrah dan tidak akan memberi arahan dagangan untuk akaun penama lagi.

Bagaimanapun pada Januari 2013, Andy Lee berkata, beliau menerima panggilan daripada ‘Alice’ mengarahkannya membuat dagangan untuk menjual saham Inno-Pacific Holdings Ltd dalam satu daripada akaun tunai penama.

“Alice meminta saya tidak memberitahu Su-Ling tentang dagangan itu,” katanya dan menambah Alice kali terakhir memberi arahan pada 4 Okt 2013, untuk menjual hak Blumont.

Artikel Berkaitan:

Andy Lee juga masih ingat pada akhir September 2013, beliau menghadiri penerangan yang disampaikan Soh mengenai masa depan perniagaan Blumont di pejabat LionGold atas jemputan Su-Ling dan Luke Ho (HKY) yang merupakan rakan sekelasnya dan seorang daripada pemegang akaun.

“Ketika kami berbual dalam talian, HKY menyebut nama John Soh (JS). Saya tidak pernah mendengar mengenai JS sebelum ini. HKY berkata JS adalah ‘tokey’ sindiket, dan ‘bos besar’ di belakangnya,” kata Andy Lee.

Menurut Andy Lee, Soh dalam penerangannya ‘memberikan gambaran yang positif mengenai masa depan Blumont, dengan mendakwa Blumont akan menjadi ‘Rio Tinto’ seterusnya dan harga sahamnya akan mencapai S$5.

“Saya juga masih ingat JS menyebut tentang saham Asiasons dan LionGold dalam pertemuan itu. Beliau berkata Blumont akan menjadi ‘mothership’ manakala Asiasons dan LionGold pula ‘subset’.

Pada 4 Oktober 2013, pada hari kejatuhan saham itu, Andy Lee berkata, dia panik apabila melihat harga saham Blumont merudum manakala dagangan di ketiga-tiga kaunter digantung pada 10 pagi.

“Apabila dagangan di kaunter digantung, saya telefon Su-Ling melalui nombor telefon Malaysia, untuk bertanya kepadanya apa yang telah berlaku. Su-Ling kedengaran panik dan dia tidak menjawab soalan saya,” katanya. – Bernama