Lawatan Mohamad kukuh kerjasama pertahanan Malaysia-Singapura

Mohamad pada Selasa mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk bertemu rakan sejawatnya, Dr Ng Eng Hen bagi membincangkan untuk memperkasa kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura.
Mohamad pada Selasa mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk bertemu rakan sejawatnya, Dr Ng Eng Hen bagi membincangkan untuk memperkasa kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan republik itu menerusi platform dua hala dan pelbagai hala.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan menerusi lawatan itu, Mohamad turut bertemu dengan rakan sejawatannya, Dr Ng Eng Hen.

Menurut MINDEF, kerjasama pertahanan dua hala antara kedua-dua negara merangkumi aktiviti latihan dan eksesais ketenteraan, kunjungan hormat dan lawatan rasmi pegawai kanan kementerian dan angkatan tentera, pertukaran pegawai dan kursus serta penglibatan dalam pameran pertahanan.

"Kerjasama pertahanan ini diperkukuh melalui kerjasama pertahanan pelbagai hala iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN, Five Power Defence Arrangements dan Malacca Straits Patrol.

"Kedua-dua Menteri Pertahanan yakin bahawa pertemuan ini dapat mengukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dan dapat memastikan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Mohamad turut bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Parlimen negara itu dan pelbagai perkara dibincangkan bersama Lee terutama mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura.

Delegasi daripada Kementerian Pertahanan turut membuat lawatan ke Pusat Operasi Counter Terrorism Information Facilities (CTIF) di Changi Naval Base, untuk melihat fasiliti dan organisasi CTIF.

CTIF merupakan platform pertukaran maklumat pelbagai hala dan pelbagai agensi bagi menangani cabaran keganasan.

Organisasi berkenaan telah diwujudkan oleh Military Intelligence Organisation Singapore dengan kerjasama United States Indo-Pacific Command.

MINDEF memaklumkan, lawatan Mohamad telah membuka peluang baharu untuk kedua-dua negara meneruskan hubungan kerja yang baik terutamanya dalam bidang pertahanan.

Menurut MINDEF, lawatan rasmi iadalah satu daripada aktiviti diplomasi pertahanan yang mendukung tonggak strategi pertahanan Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Ia juga sebahagian daripada langkah membina keyakinan dalam memastikan keselamatan negara serta kestabilan serantau. - Bernama