Lelaki mirip 'Jesus Christ' curi perhatian sebelum diusir dari Parlimen Portugal

LISBON – Seorang lelaki berpakaian menyerupai Jesus Christ diusir dari ruang galeri Parlimen Portugal selepas kehadirannya mencuri perhatian ketika seorang pemimpin parti sedang berucap mengenai perbahasan Belanjawan Negara 2027.
Kejadian berlaku pada Selasa lalu ketika pemimpin parti Chega, Andre Ventura menyampaikan ucapan mengkritik dasar ekonomi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Luis Montenegro.
Insiden bermula apabila lelaki berkenaan mengangkat kedua-dua tangannya ketika berada di galeri pemerhati. Tindakan itu menarik perhatian Ventura yang kemudian membalas gerakannya sambil berseloroh bahawa 'Jesus Christ' turut hadir untuk mengucapkan terima kasih kepada partinya.
Presiden Dewan Perhimpunan Republik Portugal, Jose Pedro Aguiar-Branco, kemudian menegur tindakan tersebut dan mengarahkan lelaki berkenaan meninggalkan galeri.
Aguiar-Branco menegaskan bahawa tindakan yang boleh mencemarkan imej dan martabat institusi Parlimen tidak boleh dibiarkan sebelum lelaki itu diiringi anggota polis keluar dari bangunan berkenaan.
Lelaki itu dikenal pasti sebagai Jonas Santos, 38, dari Porto, bandar kedua terbesar di Portugal. Bagaimanapun, Santos mempertikaikan tindakan mengusirnya dan mendakwa dia hanya mendengar perbahasan, berdiam diri dan berdoa tanpa berniat mengganggu persidangan.
Beliau turut menyatakan kehadirannya bukan bertujuan mengadakan protes sebaliknya mahu mendengar pandangan kedua-dua pihak dalam perbahasan berkenaan.
Insiden itu berlaku ketika Parlimen membahaskan Belanjawan Negara 2027 yang menyaksikan kerajaan minoriti pimpinan Montenegro berdepan tentangan berhubung dasar ekonomi dan sosial.
Sebanyak lebih 300 pindaan diluluskan bertentangan dengan hasrat kerajaan termasuk langkah menghapuskan cukai nilai tambah (VAT) terhadap barangan makanan asas selama tiga bulan, kenaikan pencen secara kekal dan pembekuan yuran pengajian universiti.
Belanjawan berkenaan akhirnya diluluskan dengan sokongan gabungan pemerintah, Perikatan Demokratik (AD) manakala Parti Sosialis (PS) mengambil pendirian berkecuali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

