Lebihan akaun semasa Malaysia cecah RM9.1 bilion

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia meningkat kepada RM9.1 bilion pada suku kedua 2023 berbanding RM4.3 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya didorong oleh eksport bersih barangan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Lebihan yang lebih tinggi itu menyumbang 2.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), meningkat daripada satu peratus daripada KDNK pada suku pertama 2023, katanya.

DOSM berkata, akaun barangan merekodkan eksport bersih RM29.5 bilion pada suku kedua 2023, penurunan sebanyak 26.1 peratus suku ke suku.

"Eksport utama ialah elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan produk kimia, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, import barangan meningkat 1.7 peratus suku ke suku kepada RM225.4 bilion daripada RM221.6 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan modal dan penggunaan dengan China, Singapura dan Taiwan menjadi sumber utama import.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), DOSM berkata ia mencatat aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.1 bilion pada suku kedua 2023 berbanding RM12.0 bilion pada suku sebelumnya.

"Penerima FDI terbesar ialah sektor perkhidmatan, terutamanya dalam sektor profesional, saintifik dan teknikal, serta subsektor kewangan,” katanya sambil menambah sumber utama FDI adalah dari Singapura, Taiwan dan Jerman.

Mengenai aliran keluar bersih dalam pelaburan langsung luar negeri (DIA), DOSM berkata ia berkembang kepada RM8.0 bilion pada suku kedua 2023 daripada RM1.1 bilion pada suku sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Sektor utama yang menyumbang kepada DIA adalah perkhidmatan khususnya dalam subsektor kewangan, serta maklumat dan telekomunikasi, diikuti oleh pertanian dan pembinaan," katanya sambil menambah tiga destinasi DIA teratas ialah Singapura, Indonesia dan Norway.

Dari segi pelaburan terkumpul pada akhir suku kedua 2023, ia berkata FDI merekodkan RM900.0 bilion manakala DIA berjumlah RM652.1 bilion.

DOSM berkata kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih RM160.9 bilion, manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM522.0 bilion. - Bernama