Suspek bunuh wanita ditahan selepas skuter rempuh gajah

Sri Lanka dianggarkan mempunyai kira-kira 7,000 gajah. - Gambar hiasan
Sri Lanka dianggarkan mempunyai kira-kira 7,000 gajah. - Gambar hiasan
A
A
A

COLOMBO – Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas disyaki menikam seorang wanita sehingga mati berakhir apabila skuter ditungganginya merempuh seekor gajah di Sri Lanka pada Jumaat.

Menurut laporan AFP, lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai menikam mangsa di kediamannya di daerah Anuradhapura, wilayah utara negara berkenaan.

Seorang pegawai polis berkata, suspek cuba melarikan diri sebelum skuter ditungganginya merempuh gajah yang tiba-tiba muncul dari kawasan hutan ke jalan raya, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Saksi memaklumkan gajah berkenaan dipercayai tidak mengalami kecederaan dan kembali ke kawasan hutan selepas insiden itu.

Suspek ditahan dan sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami dengan dikawal anggota polis bersenjata.

Polis turut menemukan senjata yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan berkenaan.

Pertembungan antara manusia dengan gajah bukan perkara luar biasa di Sri Lanka apabila kawasan penempatan dan pertanian semakin berkembang sehingga bertindih dengan habitat haiwan berkenaan.

Menurut angka rasmi, negara itu merekodkan kira-kira 400 kematian gajah dan 150 kematian manusia setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun lalu akibat konflik manusia-haiwan.

Sri Lanka dianggarkan mempunyai kira-kira 7,000 gajah dan haiwan itu dianggap sebagai khazanah negara serta dilindungi undang-undang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!