Tular video lelaki bantu lipat pakaian penduduk di ampaian

BANGKOK – Gelagat seorang lelaki membantu melipat pakaian penduduk di ampaian mengundang kehairanan, selepas aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut laporan Bangkok Post, insiden itu berlaku di Soi Bang Waek 2, daerah Phasi Charoen, Rabu lalu.
Rakaman yang tular di media sosial itu menunjukkan lelaki terbabit memakai baju putih, berseluar biru serta membawa beg galas hitam dilihat berjalan menyusuri lorong perumahan.
Dia dipercayai mabuk itu berhenti di hadapan beberapa ampaian rumah penduduk sebelum mengambil pakaian yang dijemur dan melipatnya dengan kemas.
Menurut perkongsian penduduk, lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan sama lebih daripada satu rumah, termasuk pakaian di ampaian sebuah rumah di hujung lorong sebelum beralih ke rumah lain.
Lelaki berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak melakukan sebarang kerosakan atau mengganggu penghuni rumah, sebaliknya meneruskan perjalanan dan meninggalkan kawasan tersebut.
Perbuatan lelaki itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna dan kehadirannya tetap menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan kawasan kediaman mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
