Kerajaan persekutuan digesa salur wang royalti ikut jadual

Mohd Harun
Mohd Harun
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu menggesa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang juga dianggap sebagai royalti petroleum disalurkan kepada negeri itu mengikut jadual.

Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa berkata, tindakan kerajaan pusat melengah-lengahkan atau menyekat peruntukan yang disalurkan itu disifatkan sebagai tindakan yang tidak matang.

Menurut Mohd Harun, gesaan itu dibuat setelah meneliti ucapan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani pada Sabtu.

"Nasihat Saidina Ali (Saidina Ali Abi Talib) kepada Gabenor Mesir, Malik Ashtar dalam warkah agungnya sebagaimana yang dipetik oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar wajar ditelaah dan penting untuk dipraktikkan.

"Mekarkan dalam hati kamu perasaan kasih sayang kepada rakyatmu dan jadikan kasih sayang itu sebagai sumber kebaikan dan sejahtera kepada mereka.

"Janganlah kamu memperlakukan rakyat dengan cara yang tidak beradab atau gasar, dan jangan ambil daripada mereka apa yang menjadi milik mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya, Dewan Pemuda Pas Terengganu menyeru semua pihak untuk menolak budaya dan cara lama yang tidak sihat, dengan mengambil pendekatan matang dan sejahtera, yang akan lebih menjamin kesejahteraan rakyat.

"Ironinya warkah daripada Saidina Ali ini jugalah yang dicadangkan oleh YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk ditelaah.

"Dewan Pemuda Pas Terengganu melihat warkah ini wajar ditelaah dan lebih penting untuk dipraktik," kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri masih menunggu bayaran penuh DKKP antara lain bagi menyelesaikan agihan bantuan banjir terutama di lokasi yang terjejas teruk di daerah Besut.

Menurut beliau, setakat ini agihan bantuan banjir di negeri itu masih belum diselesaikan disebabkan beberapa kekangan termasuk pertindihan permohonan daripada mangsa banjir.

Jelasnya, agihan bantuan itu dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya selepas wang itu diterima dan proses pemutihan yang kini sedang berjalan selesai disaring.