Jangan sambil lewa isu keselamatan anak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEJAUH mana ibu bapa, penjaga mahupun pengasuh di negara ini, mengambil maklum mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan anak-anak jagaan, berada dalam keadaan selamat.

Sedangkan banyak dasar kerajaan telah digubal bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar memahami isu itu termasuk hak kanak-kanak.

Lihat sahaja kes terbaharu, apabila seorang budak lelaki berusia enam tahun memandu kereta lebih 2.5 kilometer untuk ke kedai, hanya ditemani adik lelakinya berumur tiga tahun, sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Simpang Kenyum, Langkawi.

Kini, kita hanya menunggu siasatan polis sama ada berlaku kecuaian atau sebaliknya, selepas polis merekodkan keterangan ibu bapa kanak-kanak itu.

Isu pengabaian dan penganiayaan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, dua tahun lalu turut mendapat liputan meluas di seluruh negara.

Kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tentunya memberi pengajaran kepada kita, supaya tidak mengambil enteng dengan tanggungjawab menjaga anak yang telah diamanahkan Ilahi.

Ia bukan hanya tugas yang perlu dipikul ibu bapa, malah penjaga, pengasuh dan masyarakat, perlu cakna dengan kewajipan mereka menjaga kebajikan anak-anak.

Tidak sekadar memberi makan pakai, mereka juga perlu memastikan anak-anak dijaga dengan aman, mendiami kediaman yang selesa, diberi kasih sayang dan menyediakan kehendak lain dengan sebaik mungkin.

Ia akan memastikan isu pengabaian dan menganiaya terhadap anak jagaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi dapat dielakkan.

Kita boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan berkenaan iaitu mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Lebih khusus ialah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Pindaan oleh Parlimen jelas mencerminkan kesalahan di bawah seksyen dan akta ini adalah serius, kerana hukuman penjara dinaikkan dari 10 kepada 20 tahun manakala denda dipinda daripada RM20,000 kepada RM50,000.

Hakikatnya, kesalahan di bawah seksyen itu diletakkan di bawah kesalahan yang berat supaya ia dapat memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan sesuatu perkara yang memudaratkan golongan bawah umur.

Bagi kes Siti Bainun, selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas dua kesalahan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, wanita bujang berusia 31 tahun ini dihukum penjara 12 tahun.

Bagi kesalahan mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun manakala kesalahan menganiaya, sebanyak 12 tahun.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula 3 Mei lalu, ini bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 12 tahun.

Bagaimanapun, dia gagal menunjukkan keadaan khas yang membolehkan penangguhan hukuman sabitan oleh mahkamah sementara menunggu keputusan kes rayuannya sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Siti Bainun yang aktif dengan kerja-kerja kebajikan kemudiannya diperintahkan untuk menjalani hukuman di Penjara Kajang, berkuat kuasa serta-merta.

Memandangkan kes Bella merupakan antara kes yang mendapat perhatian ramai, rata-rata netizen mungkin mengetahui kronologi kes sejak awal.

Sedangkan di mahkamah seluruh negara, begitu banyak kes seumpama ini dipertuduhkan setiap masa. Mengambil contoh pada Ogos tahun lalu, tindakan seorang seorang lelaki 'menyuapkan' rokok elektronik atau vape ke mulut seorang bayi, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ia selepas satu video berdurasi 16 saat tular di media sosial, memaparkan tindakannya memasukkan muncung vape ke mulut bayi itu.

Meskipun insiden seumpama berkenaan mendapat liputan meluas, malah tindakan undang-undang telah diambil, namun ia seakan tidak memberi kesan kepada orang lain kerana kes hampir sama tetap berulang.

Diharap, kekejaman terhadap kanak-kanak tidak lagi berlaku dan semua pihak cakna dengan isu tersebut dalam memastikan generasi baharu ini kelak, memiliki masa depan yang lebih terjamin serta terhindar daripada bahaya.

*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Jenayah/Mahkamah