Terengganu tunggu bayaran penuh DKKP selesai agihan bantuan banjir

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, pada Rabu.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu masih menunggu bayaran penuh Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) bagi menyelesaikan agihan bantuan banjir terutama di lokasi yang terjejas teruk seperti di daerah Besut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini agihan bantuan banjir di negeri itu masih belum diselesaikan disebabkan beberapa kekangan termasuk pertindihan permohonan daripada mangsa banjir.

Jelasnya, agihan bantuan itu dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya selepas wang itu diterima dan proses pemutihan yang kini sedang berjalan selesai disaring.

"Terdapat dua kategori bantuan yang dijanjikan untuk mangsa banjir iaitu daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sementara satu lagi bantuan daripada kerajaan negeri.

"Selain masih menunggu wang daripada kerajaan pusat, masalah kelewatan agihan ini juga kerana kita dapati masih ada lagi pertindihan tuntutan bantuan banjir, contohnya suami isteri, rumah yang sama tapi tuntutan berasingan kononnya pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza.

"Disebabkan terlalu banyak pertindihan senarai nama, kita terpaksa membuat semakan yang sangat teliti, luar dari kebiasaan sebelum ini untuk melakukan proses pemutihan supaya hanya mangsa sebenar menerima bantuan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Darul Iman di sini, pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, proses itu dilakukan bagi memastikan agihan wang bantuan itu diberikan secara adil dan serentak kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.

"Kalau kita bagi separuh-separuh, yang tak dapat akan merungut, jadi langkah terbaik ialah mengagihkannya secara serentak pada tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya.

Difahamkan, ketika ini masih terdapat mangsa banjir terutama di daerah Besut yang mendakwa masih belum menerima bantuan banjir daripada mana-mana pihak sedangkan kawasan itu paling teruk terjejas banjir yang berlaku akhir tahun lalu.

Ahmad Samsuri berkata, berdasarkan rekod, di daerah Besut sahaja terdapat kira-kira 9,000 permohonan diterima bagi bantuan di peringkat pusat sementara 5,000 permohonan di peringkat negeri.