Dengar anak menjerit minta tolong sebelum lemas - Bapa

Jenazah dua beradik mangsa lemas di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Ampat Jalan Lombong di Kota Tinggi, pada Selasa.
Jenazah dua beradik mangsa lemas di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Ampat Jalan Lombong di Kota Tinggi, pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Bapa kepada dua beradik yang lemas di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili di sini pada Isnin tidak dapat melupakan jeritan seorang daripada anaknya yang meminta tolong sebelum tenggelam.

Bapa mangsa, Johari Mohd Barjol, 50, berkata, jeritan meminta tolong supaya diselamatkan itu masih terngiang-ngiang sehingga kini.

"Ayah tolong. Inilah jeritan terakhir anak saya minta diselamatkan," kata bapa kepada enam anak itu ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 3.57 petang Isnin, dua beradik tersebut yang merupakan anak keempat dan kelima Johari iaitu Siti Rabiah, 13, dan Siti Nursalina, 10, lemas ketika mandi bersama-sama keluarganya di pantai berkenaan.

Susulan itu pada jam 4 petang, mangsa lemas pertama, Siti Rabiah berjaya ditemui orang awam dalam jarak lingkungan 50 meter daripada pantai dan mangsa telah pun meninggal dunia.

Setelah itu pada jam 4.15 petang, adiknya pula berjaya ditemui orang awam dalam jarak lingkungan 15 meter dari lokasi mangsa hilang dan mangsa juga meninggal dunia.

Semasa kejadian seramai enam ahli keluarga datang ke pantai tersebut dari Ulu Tiram, Johor Bahru untuk aktiviti beriadah dan mandi manda sempena cuti am.

Bercerita lanjut, ketika itu katanya, dia melihat isterinya Mersidita Yunos, 46, sedang terapung akibat pengsan manakala kelibat Siti Nursalina pula sudah tidak kelihatan dibawa ombak.

"Siti Rabiah dan Siti Nursalina merupakan adik-beradik yang sangat rapat dan merekalah yang paling teruja bila diajak ke pantai. Semasa kejadian itu merupakan kali kedua mereka turun ke laut selepas makan.

"Ketika itu ombak agak kuat dan saya sempat pesan kepada mereka agar berhati-hati. Kali kedua ke laut mereka turun berempat bersama isteri saya dan anak buah Saleha Haron, 27," katanya.

Johari berkata, ketika kejadian isterinya sempat menarik tangan kedua-dua anaknya itu, manakala dia sempat menyelamatkan anak buahnya yang tidak jauh dari tempat dia duduk.

Ujarnya, isterinya sedang ditahan di wad HKT kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala anak buahnya dalam keadaan baik.

Jenazah dua beradik tersebut yang disolatkan di Masjid An Nur Kampung Batu Ampat selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu Ampat Jalan Lombong Kota Tinggi.