Dua beradik perempuan ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh

Pihak bomba membantu mengangkat kedua-dua mangsa lemas sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dalam kejadian di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli pada Isnin.
Pihak bomba membantu mengangkat kedua-dua mangsa lemas sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dalam kejadian di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua beradik kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 10 dan 13 tahun ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli pada Isnin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 3.39 petang.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, seramai sembilan anggota dari BBP Penawar dengan satu jentera LFRT dan Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati empat mangsa daripada satu keluarga didapati lemas di lokasi.

"Dua daripada mereka telah diselamatkan orang awam manakala dua lagi mangsa telah lemas dan dibawa naik ke darat sebelum PKO tiba ke lokasi.

"Kedua-dua mangsa yang lemas itu kemudiannya disahkan telah meninggal dunia," katanya.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Nursalina Johari, 10 dan kakaknya, Siti Rabiah Johari, 13, manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Saleha Haron, 27, dan Mersidita Yunos, 46, yang merupakan ibu kepada kedua-dua mangsa.

Beliau berkata, PKO kemudiannya bertindak memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang cedera dan kedua-dua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.