Hubungan UMNO-Amanah teruji

Beberapa laporan berhubung reaksi pemimpin daripada UMNO dan Amanah susulan kenyataan Khalid supaya rayuan pengampunan terhadap Najib ditolak
Beberapa laporan berhubung reaksi pemimpin daripada UMNO dan Amanah susulan kenyataan Khalid supaya rayuan pengampunan terhadap Najib ditolak
A
A
A

HUBUNGAN UMNO dengan Parti Amanah Negara (Amanah) sedikit teruji dengan kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad baru-baru ini mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan dikeluarkan berkenaan seolah-olah menunjukkan tidak ada kesepakatan antara dua rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam isu tersebut.

Susulan kenyataan Khalid yang merayu agar pengampunan terhadap Najib ditolak, beberapa pemimpin daripada UMNO dan Amanah tampil memberi reaksi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Amanah sebagai parti ‘kawan makan makan’ selain desakan yang dilakukan Khalid itu menyebabkan Amanah hanya layak menjadi kawan dan bukan sebagai sahabat dalam perjuangan.

Sebaliknya, Khalid menyatakan UMNO perlu menghormati pendirian Amanah mengenai isu pengampunan diraja terhadap Najib dan menegaskan, dasar hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diberi keutamaan berbanding perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pembebasan bekas presiden UMNO berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan dalam konteks organisasi, pandangan daripada Khalid tidak mewakili parti tersebut kerana sebarang keputusan rasmi hanya diputuskan dalam mesyuarat

Ujar Mohamad, namun pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan meskipun mereka terikat dengan perlembagaan parti.

Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendapat dikeluarkan Khalid bukan pendirian daripada parti itu sebaliknya hanya pendapat peribadinya semata-mata.

Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan atasan Amanah.

Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan daripada Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyatakan parti itu memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataan dikeluarkan Khalid baru-baru ini mengenai isu pengampunan terhadap Najib.

Menurut Salahuddin, permintaan maaf berkenaan dibuat susulan ia telah melukakan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Perkara itu jelas menunjukkan pentingnya kesepakatan antara kedua parti untuk meletakkan pendirian dalam sesuatu perkara bagi mengelakkan konflik perbezaan pendapat.

Ia perlu bagi menepis pandangan daripada sesetengah pihak yang mendakwa kononnya pandangan daripada pemimpin parti tidak semestinya mewakili pandangan daripada keseluruhan parti.

Paling penting sekarang adalah masa terbaik untuk memfokuskan kepada isu kebajikan rakyat, kos sara hidup selain memulihkan ekonomi negara berbanding bertelagah terhadap isu-isu politik yang tidak berkesudahan.