Danish balas sindiran 'menggelupur' Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin membalas sindiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkan pihaknya sebagai 'menggelupur'.
Danish menerusi hantaran balas di Facebook turut menyampaikan salam 6-0 kepada UMNO Melaka.
Meskipun tidak memperincikan maksud 6-0 tersebut, difahamkan ia berkaitan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi enam kerusi Parlimen di Melaka yang menyaksikan UMNO tewas kesemuanya.
"Dia yang menggelupur. Kita on. Salam 6-0 kepada UMNO Melaka," katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal menyindir pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan beliau mengenai penyatuan UMNO dan Pas di Melaka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, lebih menghairankan lagi kritikan tersebut dibuat oleh parti lain, bukannya UMNO dan Pas.
Terdahulu, kenyataan beliau menerusi sesi temu bual audio siar pada Rabu dikritik Danish.
Danish mendakwa, pandangan peribadi disuarakan Dr Muhamad Akmal memperlihatkan kegelisahan politik yang sedang melanda parti berkenaan.
Beliau menegaskan, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang ketakutan kepada AMK, sebaliknya yakin ia membuka ruang lebih luas buat Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya lagi, meskipun rekod semasa di negeri berkenaan menyaksikan Pas tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya lalu dan UMNO menang 21 daripada 28 kerusi, namun beliau menekankan isu penyatuan Melayu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti.
Ringkasan AI
- Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin membalas sindiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh
- Danish menyampaikan salam 6-0 kepada Dr Muhamad Akmal berkaitan kekalahan UMNO di semua enam kerusi Parlimen di Melaka dalam PRU15
- Dr Muhamad Akmal sebelum ini menyindir parti lain yang tidak berpuas hati dengan cadangan penyatuan UMNO dan Pas di Melaka
- Danish menuduh Dr Muhamad Akmal menggelisah secara politik dan menegaskan cadangan penyatuan itu tidak menakutkan AMK
- Meskipun UMNO menang besar dalam pilihan raya negeri, Danish berpendapat isu penyatuan Melayu tidak semata-mata soal pembahagian kerusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

