Amanah rayu Agong tolak pengampunan Najib

Khalid. Laporan Sinar Harian pada 7 April lalu.
Khalid. Laporan Sinar Harian pada 7 April lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditolak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Ujarnya, perkara itu akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak maka Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.

"Hanya dengan itu rakyat akan yakin bahawa Kerajaan Perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong ingin menyelamatkan negara kita daripada pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melanda negara sejak sekian lama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 9 April lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Seri Paduka Baginda untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan, Amanah mengakui dan mengiktiraf pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan pandangan parti tersebut terhadap isu berkenaan diharapkan dapat membantu Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan yang baik dan tepat bagi Institusi Raja-raja Melayu serta negara ini secara keseluruhannya.

Khalid berkata, pengampunan terhadap Najib akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik semata-mata.

Dalam pada itu, beliau berkata, persoalan pengampunan tersebut dibawa oleh UMNO atas rasa tanggungjawab terhadap bekas presiden mereka.

Menurutnya, walaupun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini adalah lebih baik UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat madani.

Jelas Khalid, tindakan UMNO kelihatan sedikit terpesong daripada wawasan masyarakat madani yang diperjuangkan bersama.

"Lagipun Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan. Apakah selepas diampunkan, beliau akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini?

"Atau dianggap beliau berada di satu 'maqam' dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?" soalnya.